Vicente fokus kepada skuad semasa, pemain warisan baharu perlu buktikan diri

Bernama
September 9, 2024 21:37 MYT
Vicente berkata beliau tahu mengenai spekulasi mengaitkan beberapa pemain warisan yang berpangkalan di luar negara, tetapi enggan mengulas mengenai perkara itu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Pau Marti Vicente kekal fokus kepada pasukan sedia ada dan yakin dengan kualiti skuad Harimau Malaya, selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Lubnan pada final Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.
Vicente berkata beliau tahu mengenai spekulasi mengaitkan beberapa pemain warisan yang berpangkalan di luar negara, tetapi enggan mengulas mengenai perkara itu.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu berkata buat masa ini tumpuan beliau hanya kepada pemain yang kini berada dalam pasukan.
"Saya berpendapat nama-nama itu perlu kita lihat dahulu dan saya rasa sukar untuk mengulas mengenai pemain yang tiada di sini, jadi jika sesuatu berlaku dan setelah ia disahkan baru kita boleh bercakap tentang mereka.
"Saya rasa buat masa ini kami mempunyai ramai pemain, pemilihan ini sukar kerana hampir semua pemain bermain dengan baik di kelab, jadi kami perlu membuat keputusan yang tepat, saya sangat gembira dengan kualiti yang kami ada dan jika ramai pemain datang, mereka perlu bersaing untuk mendapatkan tempat," kata Vicente.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi beberapa pemain warisan yang bermain di luar negara yang dikaitkan dengan Malaysia, semasa sidang media pascaperlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam tadi.
Antara nama yang disebut oleh media tempatan ialah kapten kelab Liga Kejuaraan Inggeris Burnley, Josh Brownhill dan pemain pertahanan kelab Eredivisie Go Ahead Eagles, Mats Deijl.
Sementara itu, mengenai potensi kemasukan pemain yang lebih naturalisasi, Vicente berkata dari perspektif kejurulatihan, mereka akan mempertimbangkan sebarang peluang untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan.
"Saya fikir bagaimana dunia berputar ketika ini, akan ada lebih banyak campuran di setiap negara... sebagai jurulatih, jika pemain tersebut layak bermain untuk negara maka kita perlu mengakses dan melihat sama ada mereka cukup bagus untuk menjadi sebahagian daripada pasukan," katanya.
Malam tadi, Vicente mengetuai Malaysia dengan gabungan pemain tempatan, warisan dan naturalisasi untuk menjuarai Pestabola Merdeka 2024 dengan kemenangan 1-0 ke atas Lubnan, hasil gol tunggal penyerang kelahiran Colombia Romel Morales.
Kemenangan ini gelaran ke-13 Malaysia dalam kejohanan bola sepak tertua di Asia, yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1957.
-- BERNAMA
#bola sepak #Stadium Nasional Bukit Jalil #harimau Malaya #Pestabola Merdeka
;