Veteran Ironman Malaysia bakal bersara selepas Langkawi 70.3

Bernama
Oktober 6, 2023 17:34 MYT
Yee Sze Mun merupakan antara perintis terawal kepada Ironman Langkawi, yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 2000. - Bernama
LANGKAWI: Kejohanan Ironman Langkawi 70.3 berlangsung esok, bakal menjadi kejohanan penutup buat atlet warga emas Malaysia Yee Sze Mun, yang akan bersara dari sukan triatlon pada usia 86 tahun.
Anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur, yang pernah menerima anugerah Hall of Fame pada 2015 atas penglibatannya buat kali ke-20 dalam Kejohanan Ironman (Malaysia dan dunia), berkata beliau merupakan antara perintis terawal kepada Ironman Langkawi, yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 2000.
"Secara keseluruhannya, sudah 30 tahun saya berada dalam bidang sukan ini dan pelbagai kecederaan telah dialami, tetapi kecederaan ini semuanya datang daripada perkara yang saya suka dan cintai, iaitu Ironman.
"Ironman 70.3 esok bakal menjadi penutup tirai, kerana saya akan bersara sepenuhnya dari sukan ini dan sebaik melintas garisan penamat, saya akan bergelar free man kerana tidak perlu lagi mengikut jadual latihan yang ketat," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Yee berkata selepas ini, dia tidak lagi perlu menjalani latihan selain boleh bangun tidur dan makan makanan yang disukainya, tanpa perlu mengikut jadual yang ditetapkan seperti tempoh 30 tahun penglibatannya dalam sukan itu.
Yee berkata dia juga memilih Ironman Langkawi 70.3 sebagai kejohanan terakhirnya, bagi membantu melengkapkan penulisan buku keduannya Couch Potato To Ironman yang dijangka dilancarkan pada tahun hadapan.
"Kalau ikut, saya hendak bersara lebih awal tetapi saya masih belum habiskan penulisan buku kedua... isteri yang cadangkan saya untuk sertai Langkawi Ironman 70.3 tahun ini, bagi mencari penutup bagi buku berkenaan.
"Apa yang pasti, esok saya sengsara kerana bukan mudah hendak tamatkan kejohanan di usia 86 tahun... displin yang saya bimbang ialah berbasikal kerana kecederaan di bahagian leher, tetapi saya akan habiskan tanpa meletakkan sebarang sasaran masa, untuk sampai ke garisan penamat," katanya.
Yee yang menyertai Kejohanan Ironman pertamanya di Kona, Hawaii pada 1995 berkata dia telah menyertai Kejohanan Ironman sebanyak 20 kali, manakala Kejohanan Ironman 70.3 sebanyak 41 kali.
Kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman Langkawi 70.3 akan bermula 7 pagi esok, dengan kategori Ironman Malaysia akan membabitkan displin renang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal (180km) dan larian (42.2km), manakala bagi manakala bagi Ironman Langkawi 70.3 ia melibatkan displin renang sejauh 1.9km, berbasikal (90km) dan larian (21.1km).
-- BERNAMA
#Yee Sze Mun #veteran ironman #Langkawi #bersara
;