Verstappen tawan GP Australia

Sinar Harian
April 2, 2023 05:45 MYT
Max Verstappen meraikan kejayaan memenangi GP Australia di Albert Park, Melbourne, 2 Apr 2023. (Foto AP)
PELUMBA sensasi, Max Verstappen mengukuhkan kedudukan dalam kejuaraan dunia saingan Formula Satu (F1) apabila menyekat cubaan Lewis Hamilton untuk melakar kemenangan dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Australia pada Ahad.
Juara dunia dari Red Bull itu bermula dari petak depan dan dipintas gandingan Mercedes, George Russell dan Hamilton pada awal saingan.
Verstappen bagaimanapun kekal tenang untuk mengungguli perlumbaan yang tergendala tiga kali selain beberapa kemalangan.
Hamilton terpaksa berpuas hati di tempat kedua di depan pemandu Aston Martin, Fernando Alonso yang sudah mencatat tiga podium daripada tiga saingan musim ini.
“Kami bermula dengan teruk. Pada pusingan pertama saya perlu berhati-hati,” kata pemandu Belanda itu.
Verstappen memulakan saingan musim 2023 dengan langkah kanan apabila mengungguli aksi pembukaan di Bahrain dan kedua di Jeddah dua minggu lalu.
“Selepas rentak menjadi pantas. Ada kibaran bendera merah, saya tidak tahu dan tidak faham. Ia mengganggu saya tetapi kami ada kepantasan yang bagus dan kami menang. Jadi itu amat penting,” katanya.
Ia juga menjadi hari yang sukar buat pemandu Ferrari, Charles Leclerc yang juga pemenang di Melbourne tahun lalu apabila terbabas pada pusingan pertama.
Malang turut menimpa Russell apabila jenteranya disambar api pada pusingan kesembilan menyebabkan dia juga tidak dapat menamatkan perlumbaan. - Sinar Harian
#Max Verstappen #F1 #GP Australia #Red Bull
;