Velodrome yang dirancang di Sarawak mungkin ambil masa dua atau tiga tahun untuk siap - Abdul Karim

Bernama
Mei 23, 2023 19:41 MYT
Abdul Karim berkata velodrome itu tidak dapat disiapkan untuk digunakan bagi temasya dwitahunan Sukma 2024 yang dihoskan Sarawak. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Pembinaan Velodrome bagi acara berbasikal trek yang sedang dirancang di Sarawak dijangka mengambil masa kira-kira dua atau tiga tahun untuk disiapkan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata velodrome itu tidak dapat disiapkan untuk digunakan bagi temasya dwitahunan Sukan Malaysia 2024 (Sukma 2024) yang dihoskan Sarawak.
"Sukma 2024 akan berlangsung kira-kira setahun lagi, velodrome tidak dapat disiapkan dalam tempoh ini untuk perlumbaan trek, tapi kita tidak akan gugurkan acara berbasikal yang lain dalam temasya sukan itu nanti.
"Acara berbasikal yang merangkumi lebuh raya, berbasikal bukit dan BMX, masih dipertandingkan, mungkin kita juga tampilkan acara pecut," katanya dalam persidangan media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Terdahulu semasa sesi penggulungan bagi kementeriannya, Abdul Karim berkata Sarawak mencadangkan supaya Sukma 2024 diadakan dari 17 hingga 24 Ogos.
Beliau berkata dalam usaha berkongsi kemeriahan Sukma dalam kalangan seluruh penduduk Sarawak, bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri telah dikenal pasti dan dicadang untuk menjadi tuan rumah kepada 32 acara sukan.
"Ini selepas mengambil kira kemudahan dan venue, serta penginapan, logistik, pengangkutan dan juga sokongan komuniti tempatan bagi acara sukan yang terpilih. Secara tidak langsung ini akan memacu ekonomi tempatan dengan kehadiran pelancong ke kawasan berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
#SUKMA #velodrome #Abdul Karim Rahman Hamzah #acara berbasikal trek
;