Velodrom Rakyat diubahsuai tahun depan: Khairy
Bernama
Julai 15, 2015 23:57 MYT
Julai 15, 2015 23:57 MYT
Kerja mengubahsuai Velodrom Rakyat di Ipoh yang tertangguh sejak 2013, akan dimulakan seawal-awalnya tahun depan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sambil menafikan dakwaan kementerian itu mahu lari daripada janji menanggung kos ubahsuai tersebut seperti yang dijanjikan sebelum ini, Khairy menjelaskan kelewatan itu berpunca daripada kekangan kewangan.
"Harapnya kerja ubahsuai itu dapat dimulakan tahun depan, kami pasti bantu membaiki velodrom itu," katanya selepas melawat trek Grand Prix Bandaraya di KLCC pada Rabu.
Khairy berkata Persatuan Berbasikal Perak (PCA) memaklumkan kepadanya kos ubahsuai itu dianggarkan sebanyak RM200,000, tetapi ia melonjak kepada RM14 juta selepas kajian dilakukan Jabatan Kerja Raya.
Menurutnya, velodrom itu sebenarnya milik Majlis Bandaraya Ipoh dan mereka sewajarnya menanggung kos ubahsuai tersebut.
Presiden PCA Datuk Amarjit Singh Gill dipetik sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebagai berkata Kementerian Belia dan Sukan sudah dimaklumkan mengenai keadaan velodrom yang sudah rosak itu tahun lalu, dan bersetuju melakukan sesuatu.
Namun sehingga kini tiada apa yang dibuat.
Kali terakhir velodrom itu digunakan adalah pada awal 2013, dan PCA sudah mengumumkan ia terlalu bahaya untuk digunakan bagi sebarang acara.