Vekic menang gelaran sulung WTA selepas menundukkan Cibulkova

Bernama
April 21, 2014 10:14 MYT
Bintang muda Croatia, Donna Vekic menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2014. -Foto BERNAMA
Bintang muda Croatia, Donna Vekic memenangi gelaran sulung Persatuan Tenis Wanita (WTA) apabila mengejutkan Dominika Cibulkova dari Slovakia untuk menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2014 di sini, pada hari Ahad.
Pemain berusia 17 tahun itu bangkit selepas tewas 5-7 pada set pembukaan untuk mengalahkan finalis Terbuka Australia itu 7-5 pada set kedua sebelum menang tipis 7-6 pada set penentuan dalam pertarungan selama dua jam 52 minit.
Vekic, pemain yang menduduki ranking ke-95 dunia, berkata beliau merasa begitu gembira untuk memenangi perlawanan itu di hadapan keluarganya serta memasang impian tinggi untuk meraih lebih banyak kejayaan.
"Saya begitu terkejut ketika ini...gembira sekali dengan kemenangan ini. Perlawanan ini begitu sengit dan terlalu meletihkan," kata Vekic selepas perlawanan itu di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di sini.
Pada awal tahun ini, Vekic kalah kepada Cibulkova, pemain berkedudukan ranking ke-10 dunia, pada Terbuka Indian Well di Amerika Syarikat.
"Saya cuba bertenang dan menampilkan aksi terbaik mungkin dan ia bukan kemenangan mudah," katanya yang menerima hadiah wang tunai AS$43,000 (RM139,342).
Sepanjang kariernya, beliau telah menjuarai empat acara perseorangan dan satu beregu dalam sirkit Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF).
Dalam ada itu, kejuaraan acara beregu disandang oleh pilihan pertama gandingan Timea Babos (Hungary) dan Chan Hao-Ching (Taiwan).
Gandingan utama itu mengambil masa 70 minit untuk menewaskan pasangan Chan Yung-Jan (Taiwan) dan Zheng Saisai (China) dengan 6-3 dan 6-4 dalam final.
"Pada mulanya, kami berhempas pulas tetapi dapat mengatasinya dengan corak permainan agresif dan mengawal perlawanan," kata Babos, pemain berusia 20 tahun itu.
Hao-Ching, 20, yang bertemu kakaknya Yung-Jan, 24, di pentas akhir, berkata adalah sukar untuk menentang kakaknya.
"Setiap kali menentang Yung-Jan..ianya sukar tetapi ia tidak penting kerana beraksi menentang kakak adalah sesuatu yang manis khususnya dalam final," katanya.
#Croatia #Dominika Cibulkova #Donna Vekic #juara Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2014 #WTA
;