Varane, Les Bleus tenang di sebalik permulaan goyah

Astro Arena
Jun 19, 2018 22:10 MYT
Hadir sebagai salah sebuah pasukan pilihan Piala Dunia, Perancis bagaimanapun gagal menyinar namun masih mampu membenam Australia 2-1 dalam aksi pembukaan kempen Kumpulan C di Kazan, minggu lepas. - Foto Stadium Arena
RAPHAEL Varane menegaskan Perancis tetap tenang susulan kemenangan ke atas Australia sambil mereka bersiap sedia untuk menghadapi Peru dalam kempen Piala Dunia Russia.
Hadir sebagai salah sebuah pasukan pilihan PialaPiala Dunia, Perancis bagaimanapun gagal menyinar namun masih mampu membenam Australia 2-1 dalam aksi pembukaan kempen Kumpulan C di Kazan, minggu lepas.
Perancis mempamerkan aksi longlai ketika menentang Socceroos namun sekurang-kurangnya tidak berkongsi mata, mereka merakamkan kemenangan menerusi penalti Antoine Griezmann -- dianugerahkan melalui sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) -- dan jaringan sendiri pada lewat perlawanan.
Tatkala keraguan terhadap kemampuan Perancis semakin meningkat namun pertahanan tengah, Varane, sedar skuad kendalian Didier Deschamps itu akan berada dalam prestasi terbaik untuk menghadapi Peru di Ekaterinburg, Khamis ini.
"Beberapa perkara tidak dilaksanakan dengan baik (dalam perlawanan pertama)," kata Varane pada sidang akhbar. "Kami sedar bahawa kami perlu bertahan dengan lebih baik, malah keseluruhan pasukan dituntut agar bertahan bersama-sama.
"Kami masih dalam awal saingan. Kami tidak seharusnya meramalkan (situasi ini) sungguhpun perlu sedar mengenai pendekatan yang tidak menjadi dalam perlawanan terakhir.
"Kami telah membuat penilaian, para pemain telah mengadakan perbincangan. Kami telah berbincang dengan jurulatih, kami tahu apa yang perlu dilakukan dalam perlawanan seterusnya."
Pemain pertahanan Perancis, Benjamin Pavard, turut cuba meredakan keraguan terhadap prestasi pasukan itu dengan memberitahu FIFA.com: "Kami tidak berasakan sebarang tekanan, mereka (Peru) yang tewas dalam perlawanan sulung, maka merekalah yang tertekan."
Peru menamatkan penantian selama 36 tahun untuk layak ke Piala Dunia namun tersungkur 1-0 kepada Denmark dalam aksi pertama.
Peru melepaskan penalti serta membazirkan deretan peluang yang menyebabkan kekalahan wakil Amerika Selatan itu kepada Denmark.
Ia bukan cara ideal buat skuad asuhan Ricardo Gareca itu yang menerapkan permainan menghiburkan, begitupun bek kiri, Miguel Trauco, tetap yakin dengan kemampuan Peru untuk bersaing dengan pemain terbaik dunia.
Dia berkata: "Kami perlu membetulkan perincian yang menyebabkan kami kekalahan. Keyakinan kami yang paling besar adalah dengan mengetahui bahawa kami menjelmakan permainan bola sepak yang baik dan kami boleh menyaingi mana-mana pasukan."
PEMAIN TUMPUAN
Perancis: Kylian Mbappe
Penggempur muda sensasi Paris Saint-Germain (PSG) ini tenggelam semasa menentang Australia, namun dia bukanlah satu-satunya tonggak Perancis yang berjuang di atas padang. Berdasarkan corak permainan pantas Peru dan keperluan Perancis untuk mendapatkan keputusan positif, pemain berusia 19 tahun itu seharusnya mencipta lebih banyak ruang dalam serangan.
Peru: Paolo Guerrero
Dibenarkan beraksi dalam temasya Russia 2018 biarpun pada awalnya digantung ekoran doping, Paolo Guerrero bagaimanapun hanya diletakkan di bangku simpanan Denmark. Penjaring utama merangkap ketua pasukan Peru itu mencetuskan impak sebaik diperkenalkan dan hampir menyamakan kedudukan. Justeru, penyerang veteran itu diramalkan akan mengucar-ngacirkan benteng Perancis.
#Australia #Didier Deschamps #FIFA #Paris #Perancis #Piala Dunia 2018 #Piala Dunia Russia #Raphael Varane #Russia #World Cup 2018
;