VAR: Virgil van Dijk patut kena kad merah - Lampard
Astro Arena
September 4, 2022 10:00 MYT
September 4, 2022 10:00 MYT
FRANK Lampard mempersoalkan mengapa pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, terlepas kad merah dalam perlawanan 'derby' Merseyside, malam tadi, selepas pertahanan Belanda itu melakukan terjahan lewat ke atas Amadou Onana.
Pertahanan tengah tersebut mengundang kad amaran daripada pengadil, Anthony Taylor, atas kekasaran pada minit ke-76 itu yang menyaksikan Van Dijk tersilap jangkaan hingga mencederakan buku lali Onana.
Perlawanan itu berakhir tanpa jaringan tetapi kad merah di penghujung permainan mampu menawarkan kelebihan buat tuan rumah.
Pengurus berkenaan tidak faham mengapa Taylor tidak mengesahkan kejadian itu semula melalui video bantuan pengadil (VAR).
Dia berkata: "Jika anda melihat saat dia menerjah tulang kering Amadou dan kaki Amadou berada di atas tanah. Saya jadi terkejut ia tidak dirujuk ke VAR dan pengadil tidak diminta untuk membuat pengesahan.
"Bagi saya, itu adalah kad merah dan ia mengubah wajah bahagian akhir permainan ini. Pada pendapat saya, pengadil tidak mengesahkann kekasaran berkenaan melalui VAR."
Everton terhutang budi dengan kecemerlangan penjaga gol mereka, Jordan Pickford, yang mematahkan lapan percubaan Liverpool.
Ia adalah penyelamatan terbanyak yang pernah dilakukan oleh pemain antarabangsa England itu untuk mengekalkan rekod bersih dalam sesebuah perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dikerah menafikan Darwin Nunez, Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Fabinho.
Lampard memuji tonggak England itu dengan berkata: "Jordan menyelamatkan beberapa percubaan dengan hujung jarinya, ia sukar buat seorang penjaga gol: menguis satu percubaan daripada Nunez di palang dan satu daripada Mo Salah di penghujung permainan.
"Begitu juga Alisson. Mereka adalah dua penjaga gol terbaik. Kami banyak bergantung kepada Jordan sejak saya berada di sini. Dia seorang penjaga gol yang luar biasa. Saya sangat bertuah kerana mempunyai pemain setarafnya untuk melakukan tugas seperti ini."