VAR jejaskan BG Pathum United - Jurulatih

Bernama
Disember 13, 2023 14:24 MYT
BG Pathum United mengakhiri saingan Kumpulan I tanpa sebarang kemenangan selepas tewas menentang JDT, Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale. - Foto Bernama
ISKANDAR PUTERI: BG Pathum United mengakui video bantuan pengadil (VAR) memainkan peranan besar dalam kekalahan pasukan dari Thailand itu 4-1 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Jurulatih Surachai Jaturapattarapong berkata pemainnya beraksi dengan baik pada separuh masa pertama dengan gol pembukaan oleh Igor Sergeev pada minit ke-28 dan berjaya menahan serangan pasukan tuan rumah pada babak pertama perlawanan.
Bagaimanapun, keadaan berubah pada minit ke-55 apabila pengadil Ma Ning berunding dengan pasukan VAR dan melihat monitor di tepi padang, kemudian memberikan sepakan penalti kepada Harimau Selatan selepas pemain import BG Pathum United Danilo Alves dilayangkan kad kuning akibat bola terkena tangannya dalam kotak penalti.
Peluang itu dimanfaatkan Bergson Da Silva yang berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti sebelum menambah gol kedua pada minit ke-66. Hendrick Dos Santos kemudian menjaringkan gol ketiga buat JDT pada minit ke-86 sebelum Arif Aiman Hanapi melengkapkan perlawanan dengan gol keempat pada minit akhir saingan.
"Walaupun ia tidak begitu jelas selepas melihat kejadian itu, kami terpaksa menerima keputusan (VAR) dan bermain dengan 10 pemain sahaja selama 40 minit pada separuh masa kedua. Situasi ini ternyata menjejaskan kami.
"Ini merupakan tugas sukar kerana kami perlu berhadapan dengan pihak lawan yang mempunyai permainan taktikal dan pemain hebat seperti Heberty (Fernandes), Bergson (Da Silva) dan Arif Aiman (Hanapi). Saya terpaksa membuat perubahan taktikal, namun masih sukar untuk membenam mereka," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan itu di sini.
Dalam pada itu, Jaturapattarapong berjanji bahawa kelab berkenaan akan bangkit pada perlawanan ACL seterusnya dengan pasukan lebih baik dan perlawanan lebih taktikal agar pasukan itu dapat melangkah lebih jauh.
Beliau berkata BG Pathum United tidak bernasib baik tahun ini apabila ditempatkan bersama 'Group of Death', merangkumi juara Liga 1 Korea (Ulsan Hyundai), naib juara Liga 1 Jepun (Kawasaki Frontale) dan juara Liga Super Malaysia JDT.
"Kami memulakan (kempen) dengan langkah kiri apabila kehilangan beberapa pemain utama.
"Selain itu, kami juga bertemu dengan pihak lawan yang kuat. Jadi, kami bertekad untuk bangkit semula pada musim depan dengan menambah baik taktik dan strategi pasukan serta memberi tumpuan penuh pada setiap perlawanan sambil mengelak melakukan kesilapan mudah jika ingin layak ke pusingan seterusnya," katanya.
Skuad dari Thailand itu mengakhiri saingan Kumpulan I tanpa sebarang kemenangan selepas tewas menentang JDT, Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.
Sementara itu, jurulatih JDT Esteban Solari berpuas hati dengan cara anak buahnya bangkit pada separuh masa kedua dalam perlawanan semalam.
"Kami bermain dengan pasukan yang baik dan ia merupakan perlawanan yang sukar. Semasa separuh masa pertama, kami agak bergelut, bagaimanapun kami berjaya bangkit selepas berehat dan menjaringkan gol.
"Saya sangat gembira kerana pasukan berjaya mengalahkan BG Pathum dua kali dan pada perlawanan kali ini, kami menjaringkan empat gol. Ini bermakna pemain melakukan yang terbaik dan saya bangga dengan mereka," katanya.
Kemenangan itu menyaksikan JDT memperoleh sembilan mata untuk menduduki tempat ketiga kumpulan di belakang Kawasaki Frontale pada kedudukan pertama dengan 16 mata, diikuti Ulsan Hyundai (10 mata), manakala BG Pathum United di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA
#Video Bantuan Pengadil #BG Pathum United #VAR #JDT #Liga Juara-Juara Asia
;