VAR catat sejarah, 'bantu' kemenangan Perancis

Israr Khalid
Jun 16, 2018 21:01 MYT
Antoine Griezmann meraikan gol yang dijaringkannya menerusi sepakan penalti pada perlawanan Kumpulan C Piala Dunia 2018 antara Perancis dan Australia. - Foto AP/Hassan Ammar
Keputusan memuaskan untuk Perancis yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Australia untuk memulakan kempen Piala Dunia FIFA Rusia 2018.
Bagaimanapun pasukan yang menjadi antara pilihan juara ini mempamer persembahan yang agak longlai, seperti masih kurang serasi antara pemain dan gagal menemui sasaran daripada hanya empat percubaan pada separuh masa pertama.
Mereka memperkemas permainan dan menggandakan asakan pada babak kedua, sehinggalah pada minit ke-56 Antoine Griezmann rebah ketika dicabar pertahanan The Socceroos, Joshua Risdon dalam kawasan penalti Australia.
Pemain Australia membantah, kerana mereka mendakwa Griezmann sengaja menjatuhkan badan lalu menggesa pengadil perlawanan merujuk pengadil bantuan video (VAR).
Pengadil perlawanan, Andres Cunha kemudian memutuskan untuk menganugerahkan sepakan penalti kepada Perancis, sekaligus mencatat sejarah pertama kali rakaman video digunakan untuk membantu pengadil dalam penganjuran Piala Dunia.
Ia mudah disempurnakan Griezmann untuk memecah kebuntuan perlawanan di Kazan itu, meletakkan Perancis di depan namun hanya untuk seketika.
Empat minit berselang, Australia pula diberikan sepakan penalti apabila pertahanan Les Blues, Samuel Umtiti didapati menggunakan tangan untuk menampan bola daripada sepakan percuma lintang Aaron Mooy, dan kapten Socceroos, Mile Jedinak tidak mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan untuk mencari gol penentu dalam memburu tiga mata pertama.
Paul Pogba yang tidak begitu dirasai kehadirannya sepanjang perlawanan akhirnya menjelmakan keupayaannya dengan membuat larian dan hantaran satu dua melolosi benteng pertahanan lawan.
Dia cuba melepasi seorang lagi pertahanan dan sepakannya sedikit mengenai kaki iaitu Aziz Behic dan terbias melambung untuk mengelirukan penjaga gol, Mathew Rian.
Bola terkena palang sebelum melantun ke tanah dan berjaya ditangkap Rian, tetapi teknologi garisan gol mendapati bola sudah sepenuhnya melepasi garisan maka ia disahkan gol oleh pengadil.
Perancis akan bertemu Peru pada 21 Jun di Ekaterinburg jam 11 malam, seterusnya Denmark pada 26 Jun di Stadium Luzhniki, Moscow jam 10 malam untuk melengkapkan jadual Kumpulan C.
#Antoine Griezmann #Australia #Awani FIFA #Les Blues #Mile Jedinak #Paul Pogba #Perancis #Piala Dunia #Piala Dunia AWANI #Raya Bola 2018 #The Socceroos #VAR
;