Van Gaal dedah United curi idea sepakan percuma dari Midtjylland
Astro Arena
Februari 23, 2016 17:07 MYT
Februari 23, 2016 17:07 MYT
LOUIS van Gaal mendedahkan Manchester United mencuri idea sepakan percuma dari lawan di Europa League, FC Midtjylland dan digunakan ketika menewaskan Shrewsbury FC 3-0 dalam pusingan kelima Piala FA Inggeris, awal pagi tadi.
Ketika Juan Mata mengambil sepakan yang membuahkan gol kedua United, tiga pemain mereka berada di belakang pertahanan lawan.
Namun, bagi bagi sesetengah pemerhati, kedudukan tiga pemain itu mengganggu penglihatan penjaga gol lawan. United dikurniakan sepakan percuma tersebut selepas Abu Ogogo menjatuhkan Anthony Martial.
"Kami belajar selepas kami menganalisis permainan Midjytlland. Dan kami melihat mereka sering melakukan sepakan seperti ini dan kami fikir ia selalunya ofsaid.
"Kami bertanyakan kepada pengadil, dan mereka kata tidak, tiada ofsaid. Selepas mempelajari daripada Midjytlland, kami dapat menjaringkannya pada hari ini. Saya fikir ia sangat bagus," kata Van Gaal
Kemenangan United keatas pasukan Divisyen 1 itu turut menepis segala tekanan yang dihadapi tatkala spekulasi kehadiran bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho menggantikan pengendali Louis Van Gaal semakin hangat diperkatakan.
Ia turut memberi kelegaan kepada Van Gaal, menjelang aksi suku akhir berdepan West Ham di Old Trafford nanti dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
Terdahulu, United bermula perlahan mencari rentak, sebelum Chris Smalling mengambil kesempatan ke atas kerapuhan benteng pertahanan Shrewsbury untuk gol pembukaan pada minit ke-37.
Sementara itu, gol ketiga United dijaringkan oleh Jesse Lingard selepas menerima hantaran Ander Herrera pada minit ke-61.