Van Dijk mahu pemain Liverpool lihat cermin
Sinar Harian
April 25, 2024 09:20 MYT
April 25, 2024 09:20 MYT
JARINGAN Jarrad Branthwaite dan Dominic Calvert-Lewin membolehkan Everton menang 2-0 ke atas Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Goodison Park.
Gol setiap babak bermula dengan minit ke-27 diikuti minit ke-58 juga menyaksikan peluang Liverpool untuk merangkul kejuaraan EPL semakin samar berikutan kekalahan keempat liga selepas mengharungi 34 perlawanan.
Kemenangan derbi Merseyside itu juga kemenangan pertama Everton di Goodison Park dalam tempoh lebih 13 tahun, menafikan hasrat Liverpool memintas pendahulu Arsenal.
Anak buah Juergen Klopp ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal kendalian Mikel Arteta (77 mata) dengan berbaki empat perlawanan.
Sementara itu, penyandang juara Manchester City pula kekal ketiga dengan 73 mata, namun memiliki dua perlawanan.
Tiga mata diraih Everton menyaksikan angkatan Sean Dyche menarik nafas lega apabila berada dikedudukan ke-16, lapan mata di atas zon penyingkiran.
“Sangat kecewa dalam banyak hal dan saya rasa semua orang perlu melihat cermin melihat prestasi mereka sendiri, adakah mereka memberikan segala-galanya dan adakah mereka benar-benar mahu memenangi liga?
"Jelas sekali masih ada perlawanan selepas malam ini, tetapi jika kami bermain seperti yang kami lakukan malam ini, kami tidak mempunyai peluang untuk memenangi kejuaraan.
"Ia adalah perlawanan yang sukar dan jelas kami perlu melakukan lebih baik menentang pasukan yang bermain mengelak penyingkiran," kata kapten Liverpool, Virgil van Dijk.
Sementara itu, Dyche berkata,"Kami bercakap tentang keinginan, tenaga pasukan dan bahagian fizikal permainan.
"Pemain-pemain melakukannya ketika menang 2-0 ke atas Nottingham Forest, dan mereka perlu melakukannya sekali lagi. Itulah cabarannya.
"Menentang Forest adalah perlawanan hebat diikuti Liverpool adalah perlawanan derbi yang sangat penting." - Sinar Harian