Valeree dipilih sebagai gandingan baharu Peng Soon
Bernama
Disember 10, 2021 07:05 MYT
Disember 10, 2021 07:05 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain muda badminton negara Valeree Siow dipilih sebagai gadingan baharu Chan Peng Soon dan akan membuat penampilan sulung pada Kejohanan Terbuka India 2022, di New Delhi dari 11 hingga 16 Jan.
"Setakat ini ya, Valeree akan menjadi pasangan baharu saya dan Terbuka India 2022 bakal menjadi kejohanan pertama kami sebagai beregu campuran.
"Berdasarkan perbincangan terkini dengan Pengarah Kejurulatihan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) Wong Choong Hann, kami telah memutuskan Valeree untuk digandingkan dan saya harap kita serasi dan membentuk kerjasama yang baik dengannya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.
Isnin lepas (6 Dis), Peng Soon mengumumkan bahawa beliau dan Goh Liu Ying akan berpisah sebagai pasangan beregu selepas 13 tahun bergandingan. Pencapaian terbaik pasangan itu adalah kejayaan meraih perak dalam acara beregu campuran pada Olimpik Rio 2016.
Ditanya faktor pemilihan Valeree, Peng Soon menyifatkan pemain berusia 19 tahun dari Perak itu mempunyai bakat dan berpotensi cerah untuk menjadi pemain badminton yang berjaya.
Dalam pada itu, pemain berusia 33 tahun itu berkata beliau tidak menetapkan sebarang sasaran pada Terbuka India, memandangkan kejohanan itu akan dimanfaatkan bagi 'menguji keserasian' gandingan mereka.
"Saya belum berlatih bersama Valeree lagi, kerana saya masih dalam tempoh kuarantin selepas pulang dari Bali, Indonesia, Isnin lepas. Saya harap perjalanan baharu saya ini akan berjaya, tetapi saya rasa ia akan ambil masa sebelum kami dapat membentuk keserasian di gelanggang," katanya.
Valeree yang bermain menggunakan tangan kanan adalah pasangan Low Yeen Yuan dalam kategori beregu wanita.
Beregu itu mempamerkan aksi cemerlang musim ini dengan memenangi tiga kejuaraan di Eropah, iaitu di Antarabangsa Slovenia 2021, Antarabangsa Latvia 2021 dan Antarabangsa Hellas 2021 di Greece.
Peng Soon yang meninggalkan BAM bersama Liu Ying pada 2018, kembali di bawah naungan badan induk itu pada Selasa (7 Dis) dan akan melapor diri pada 1 Jan 2022.
Aksi terakhir Peng Soon dan Liu Ying sebagai pasangan beregu campuran ialah ketika tewas 8-21, 18-21 kepada beregu Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2021 di Bali minggu lepas.
Beregu yang pernah menduduki ranking ketiga dunia pada 2013, iaitu ranking terbaik mereka, juga pernah meraih 12 gelaran juara.
Ini termasuk pingat emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi dan pingat gangsa bagi beregu campuran pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.
-- BERNAMA