Vaksin tambah keyakinan Farah Ann bertanding Piala Dunia Gimnastik Artistik

Isabelle Leong
April 13, 2021 17:14 MYT
FARAH ANN:'Sasaran saya adalah untuk bertanding dan melihat tahap saya kerana saya sudah lama tidak bertanding dan ia lebih kepada meningkatkan tahap keyakinan dan juga perasaan persaingan itu lagi.' - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi menyifatkan penerimaan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada Selasa menambahkan keyakinannya untuk bersaing dalam temasya sukan dunia.
Farah Ann berkata, beliau berasa lebih lebih selesa dan selamat untuk bersaing dalam Piala Dunia Gimnastik Artistik di Mesir pada Jun ini berbekalkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech yang diterimanya pada Selasa.
“Kami risau sekiranya dijangkiti COVID-19 dan kami perlu bertanding di Sukan Olimpik nanti.
“Oleh itu, kami berasa lebih selamat sekarang,” katanya apabila ditemui pemberita susulan menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Kompleks Sukan DBKL, Taman Desa Tasek pada Selasa.
Reezal Merican, 264 atlet negara terima vaksin COVID-19
Antara atlet lain yang terlibat termasuk atlet paralimpik Ziyad Zolkefli, atlet memanah Khairul Anuar Mohamad, atlet olahraga paralimpik Mohd Ridzuan Puzi, dan jurulatih badminton paralimpik Datuk Rashid Sidek.
Biarpun mengakui berasa agak gementar kerana kali terakhir beliau bertanding di pentas antarabangsa adalah di Sukan SEA 2019, namun gimnas berusia 27 tahun itu berkata beliau amat teruja untuk bertanding di luar negara pada musim akan datang.
“Terdapat satu kemahiran yang akan saya sertakan dalam rutin saya tetapi saya mahu menjadi sangat selamat dalam Sukan Olimpik.
“Jadi, ia melibatkan banyak rutin saya yang saya dapat persembahkan dengan baik.
“Sasaran saya adalah untuk bertanding dan melihat tahap saya kerana saya sudah lama tidak bertanding dan ia lebih kepada meningkatkan tahap keyakinan dan juga perasaan persaingan itu lagi,” tambahnya.
Vaksin COVID-19 | Kumpulan kedua libatkan lebih 1,000 atlet, pegawai
Puasa bukan penghalang buat Farah Ann
Dalam perkembangan sama, bulan Ramadan sama sekali tidak menjadi penghalang buatnya menjalani latihan untuk mengekalkan tahap prestasinya.
“Bagi saya, sesi latihan berjalan seperti biasa.
“Memang sejak saya kecil lagi, latihan pada bulan puasa sudah menjadi satu kebiasaan.
“Bagaimanapun, saya tidak menjalankan laihan pada waktu malam,” ujarnya.
#Farah Ann Abdul Hadi #Piala Dunia Gimnastik Artistik #Pfizer-BioNTech #COVID-19 #Mesir #Ziyad Zolkefli #Khairul Anuar Mohamad #Mohd Ridzuan Puzi #Datuk Rashid Sidek #Olimpik #Ramadan
;