V Shem-Wee Kiong, Yew Sin-Ee Yi digandingkan semula hadapi Piala Thomas
Bernama
Disember 6, 2017 04:48 MYT
Disember 6, 2017 04:48 MYT
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pemenang pingat perak beregu lelaki Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan pemenang pingat perak Sukan SEA 2017, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, akan digandingkan semula pada beberapa kejohanan akan datang, dijadual awal tahun depan.
Setiausaha Kehormat BAM Datuk Ng Chin Chai mengesahkan bahawa keputusan itu dibuat berikutan peraturan baharu yang diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkuat kuasa tahun depan.
"Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan digandingkan semula dalam beberapa kejohanan akan datang sebagai persiapan menghadapi kempen Piala Thomas tahun depan.
"Berikutan kedua-dua pasangan beregu ini masih berada di ranking yang baik, mereka boleh meletakkan Malaysia dalam kedudukan baik untuk aksi kelayakan dan juga selaku pasukan pilihan.
"Dalam beberapa bulan akan datang, gandingan baru dan lama akan menyertai kejohanan berbeza.
"BWF menetapkan peraturan baharu kejohanan bagi 2018... tiada lagi pusingan kelayakan kejohanan Tahap 2 dan 3, manakala kejohanan Tahap 4 dan 5, hanya disediakan 28 tempat untuk undian utama dan tambahan lapan daripada Pusingan Kelayakan.
"Maka, Malaysia berdepan risiko jika gandingan baru Wee Kiong-Yew Sin dan V Shem-Ee Yi tidak layak beraksi dalam semua kejohanan Tahap 2 dan 3, dan kebanyakan kejohanan Tahap 4.
"Jadi, BAM bersama-sama jurulatih dan pemain membuat keputusan untuk meneruskan gandingan V Shem-Wee Kiong dan Yew Sin-Ee Yi bagi beberapa kejohanan," kata Ng dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, ketua jurulatih beregu negara Cheah Soon Kit berkata: "Sesuatu yang positif kerana pemain memahami perancangan yang kami lakukan untuk tahun depan terutama dalam menghadapi kempen Piala Thomas.
"Mereka (pemain) sangat menerima keputusan ini kerana mereka tahu kepentingan negara adalah keutamaan dan mereka juga menyedari peraturan baharu BWF itu. Saya berharap mereka dapat meraih keputusan yang terbaik."
Setakat 30 Nov lepas, pasangan Wee Kiong-Yew Sin dan V Shem-Ee Yi, masing-masing pada ranking ke-76 dan 92 dunia, manakala gandingan V Shem-Wee Kiong dan Yew Sin-Ee Yi di kedudukan ke-18 dan 24.
-- BERNAMA
#badminton
#BAM
#BWF
#Goh V Shem
#ng chin chai
#Ong Yew Sin
#Persatuan Badminton Malaysia
#persekutuan badminton dunia
#Tan Wee Kiong
#Teo Ee Yi