V Shem-Wee Kiong terkandas di suku akhir

Bernama
Mac 8, 2019 05:48 MYT
V Shem-Wee Kiong yang menduduki ranking ke-29 dunia, bermula garang pada awal set pertama. - Gambar fail
Beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong terkandas di suku akhir kejohanan badminton All England 2019 di Arena Birmingham pada Jumaat.
Pada perlawanan yang berlangsung selama 39 minit itu, gandingan negara terpaksa akur kepada ketangkasan pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto; 20-22, 12-21.
V Shem-Wee Kiong yang menduduki ranking ke-29 dunia, bermula garang pada awal set pertama bagaimanapun kesilapan-kesilapan kecil menyebabkan pasangan Indonesia mengutip mata demi mata.
Memasuki set kedua, gandingan negara seakan buntu mencari rentak membolehkan Fajar-Muhammad Rian menguasai perlawanan.
Lawan pasangan Indonesia itu bakal ditentukan dalam satu lagi perlawanan suku akhir melibatkan pasangan China Liu Cheng-Zhang Nan berdepan satu lagi pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, awal pagi Sabtu.
-- BERNAMA
#all england #badminton #Birmingham #Goh V Shem #Indonesia #kesilapan kecil #Tan Wee Kiong
;