V Shem-Wee Kiong singkirkan beregu No. 2 dunia

Bernama
Jun 28, 2018 22:35 MYT
Goh V Shem-Tan Wee Kiong bangkit semula dalam set penentuan. - Gambar fail
Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong melakar kejutan selepas menyingkirkan gandingan nombor dua dunia, Liu Cheng-Zhang Nan dari China untuk meraih slot ke suku akhir Terbuka Malaysia 2018, hari ini.
Pada perlawanan mendebarkan itu, Wee Kiong-V Shem mendahului set pertama 21-14 kemudian terpaksa bergelut dalam pertarungan sengit dan tewas set kedua 21-23, sebelum bangkit dan memenangi set penentuan 21-17 di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini.
V Shem berkata beliau sangat berasa puas dan berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan itu pada perlawanan seterusnya nanti.
"Kami sangat puas hati dengan prestasi hari ini, penyokong juga banyak menaikkan semangat kami untuk tidak putus asa," kata V Shem kepada pemberita.
Wee Kiong pula berkata mereka sepatutnya boleh memenangi straight set menentang pasangan China itu tetapi beliau mengakui melakukan kesilapan pada tiga hantaran terakhir pada set kedua sehingga memberi kemenangan kepada pihak lawan.
Menanti mereka selepas ini adalah beregu pilihan keenam kejohanan, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun yang menewaskan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-14, 21-16 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.
V Shem mengakui perlawanan esok lebih sukar terutamanya bekas jurulatih mereka, Jeremy Gan, kini merupakan jurulatih pasukan lawan kerana kemungkinan pencabar mereka sudah mengetahui tentang kelebihan dan kelemahan beliau dan Wee Kiong.
"Ada kekurangan dan kelebihan, jurulatih Jeremy boleh baca corak permainan kami. Kami tetap akan memberikan tentangan sengit lebih-lebih lagi kejohanan ini beraksi di hadapan penyokong negara," kata V Shem.
Turut mara ke suku akhir adalah gandingan pemain profesional, Tan Boon Heong yang bergandingan dengan Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan selepas mengetepikan beregu pilihan ketujuh, Takuto Inoue-Yuki Kaneko dari Jepun, 21-15, 23-21.
Dalam pada itu nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tewas dalam pertarungan sengit menentang Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe dari Jepun 15-21, 21-17, 16-21.
Turut mengalami kekalahan beregu wanita negara, Lim Chiew Sien-Tan Sueh Jeou yang kalah straight set menentang Della Destiara Haris-Rizki Amelia Pradipta dari Indonesia 15-21, 15-21 diikuti Vivian Hoo-Soong Fie Cho tewas kepada Misaki Matsumoto-Ayaka Takahashi dari Jepun 14-21, 9-21.
-- BERNAMA
#badminton #beregu lelaki negara #Goh V Shem-Tan Wee Kiong #kejohanan #Terbuka Malaysia
;