V Shem-Wee Kiong mara ke separuh akhir Terbuka Korea

Bernama
September 30, 2016 22:35 MYT
V Shem dan Wee Kiong pamer permainan mantap ketika perlawanan di antara pemain China, Zhang Nan dan Fu Haifeng di Sukan Olimpik baru-baru ini. - Gambar AFP/Goh Chai Hin
Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meneruskan rentak cemerlang apabila mengulangi kejutan terhadap beregu handalan China untuk mara ke separuh akhir Siri Super Terbuka Korea di Seoul.
Pada saingan suku akhir, V Shem-Wee Kiong, yang menang pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016, mengalahkan beregu nombor empat dunia, Hong Wei-Chai Biao dalam straight set 21-18, 21-13.
Pada temasya Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, bulan lepas, beregu negara itu mengalahkan beregu China itu dalam rubber set 21-18, 12-21, 21-17 pada separuh akhir untuk layak ke final.
Esok, V.Shem-Wee Kiong, selaku beregu nombor sembilan dunia, akan menentang beregu China, Li Junhui/Liu Yuchen pada separuh akhir.
Beregu China itu melakarkan kejutan apabila menyingkirkan beregu nombor lima dunia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dari Indonesia, 21-11, 21-16 pada saingan suku akhir.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut melangkah ke separuh akhir selepas berhempas pulas untuk mengalahkan pasangan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen-Sara Thygesen 21-14, 14-21, 21-19.
Peng Soon-Liu Ying, yang turut meraih pingat perak pada sukan Olimpik Rio, bakal berdepan laluan sukar ke final apabila dijadual menentang pilihan utama yang juga ranking nombor satu dunia, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na dari Korea Selatan,pada separuh akhir esok.
Kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai US$600,000 (RM2.477 juta). - BERNAMA
#Goh V Shem-Tan Wee Kiong #Hong Wei-Chai Biao #Siri Super Terbuka Korea
;