V Shem, Wee Kiong mara ke final Terbuka Denmark

Bernama
Oktober 23, 2016 09:27 MYT
Aksi kedua-dua beregu negara ketika menentang beregu pilihan kedua kejohanan, Mathias Boe dan Carsten Mogensen pada 22 Oktober. - Gambar Scanpix Denmark/Frank Cilius/via Reuters
Cabaran skuad badminton negara pada Terbuka Denmark ke saingan final diteruskan apabila beregu lelaki, Goh V Shem/Tan Wee Kiong menang ke atas pasangan tuan rumah, malam tadi.
Wakil tunggal negara itu bertungkus lumus dalam perlawanan selama 57 minit untuk menidakkan kemaraan beregu pilihan kedua kejohanan, Mathias Boe/Carsten Mogensen dengan catatan kemenangan 20-22, 21-15 dan 21-11, menurut lawan sesawang Persekutuan Badminton Dunia, www.bwf.tournamentsoftware.com.
Pada final nanti, V Shem/Wee Kiong dijadualkan bertemu beregu Thailand, Bodin Isara/Nipitphon Phuangphuapet yang menewaskan beregu pilihan ketujuh dari Indonesia, Angga Pratama/Ricky Karanda Suwardi 21-11 dan 21-18.
Terdahulu, pada kejohanan Siri Super Premier yang berlangsung di Odense Sports Park itu, jaguh negara yang juga pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tewas kepada pemain dari Perancis Brice Leverdez, ranking ke-38 dunia dengan mata 17-21, 22-20 dan 19-21 pada perlawanan suku akhir pada Sabtu. - BERNAMA
#badminton #carsten mogensen #Goh V Shem #mathias boe #Tan Wee Kiong #Terbuka Denmark
;