V Shem dan Wee Kiong tekad ubah corak permainan
Astro Arena
Jun 25, 2015 16:34 MYT
Jun 25, 2015 16:34 MYT
Beregu lelaki No.1 negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mahu menebus kegagalan merangkul pingat di Sukan SEA Singapura apabila beraksi di Terbuka Taiwan dan Russia nanti.
Kedua atlet ini kecewa tidak menyumbang pingat di Kota Singa walaupun telah dicanang antara pilihan untuk menyumbang pingat.
Lebih mengejutkan mereka tewas di pusingan pertama kepada pasangan muda Indonesia Gideon Markus dan Kevin Sukamuljo.
V Shem bagaimanapun yakin dengan masa yang mencukupi untuk berlatih mereka mampu melakar sesuatu di Taiwan dan Russia nanti.
"Kami memang tidak berpuas hati kerana gagal sumbang pingat di Singapura walaupun dah beri yang terbaik kami tetap kalah," katanya.
Atlet berusia 26 tahun itu turut mengakui kelemahan bermain di jaring jadi punca tewas namun yakin kali ini situasi sudah berbeza.
"Di Singapura kami berdepan kekangan masa untuk berlatih namun kali ini kami lebih bersedia kerana mempunyai masa panjang untuk latihan," katanya lagi.
Terbuka Taiwan dan Russia bakal menjadi pentas penting untuk skuad badminton negara melengkapkan persiapan sebelum berangkat ke Indonesia bagi bersaing di Kejohanan Dunia.