V Shem azam buka lembaran baharu 2018 dengan prestasi lebih konsisten
Bernama
Disember 29, 2017 04:13 MYT
Disember 29, 2017 04:13 MYT
Pemain badminton beregu lelaki, Goh V Shem yang akan melakukan penampilan semula bersama Tan Wee Kiong berazam mahu membuka lembaran baharu tahun depan dengan prestasi lebih cemerlang dan konsisten.
V Shem-Wee Kiong pernah bergelar beregu nombor satu dunia dua tahun lepas kini menduduki tangga ke-29 dunia mengakui perlu berkerja keras untuk mendapatkan semula rentak kecemerlangan mereka terutamanya dalam menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari depan.
V Shem berkata beliau dan Wee Kiong juga sudah bersedia untuk menyumbang mata dalam kejohanan itu yang juga merupakan kelayakan Piala Thomas 2018.
"Saya berharap pada 2018 prestasi kami akan lebih baik berbanding tahun ini. Kami sudah membuat persiapan yang rapi menjelang tahun depan. Dalam latihan, saya yakin keserasian kami lebih bagus. Saya harap komunikasi yang baik ini dapat dikekalkan
"Bagi persediaan kelayakan Piala Thomas, tekanan pasti ada tetapi saya yakin kami dapat mengatasinya," katanya kepada pemberita ketika di temui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini semalam.
V Shem-Wee Kiong merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 gagal mengekalkan prestasi cemerlang pada awal tahun ini telah memaksa pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan memisahkan mereka pada September lepas.
V Shem berkata Kejohanan Badminton Thailand Masters dari 9 hingga 14 Jan dan Malaysia Masters dari 16 hingga 21 Jan tahun hadapan merupakan kejohanan awal yang perlu diharungi bagi menguji tahap taktikal dan prestasi mereka selain mendapatkan semula keserasian di gelanggang.
"Kami perlu beraksi bersungguh-sungguh dari awal tahun untuk meraih keputusan yang cemerlang supaya semangat itu dapat dikekalkan dalam menghadapi kejohanan yang lain selepas ini," katanya.
Selain mereka, beregu lelaki negara gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kini menduduki tangga ke-23 dunia merupakan antara beregu pilihan yang akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia itu nanti.
''Tidak kira siapa akan dipilih sebagai beregu pertama atau kedua negara, bagi saya masing-masing perlu berkerja keras meraih mata untuk membantu skuad negara layak ke Piala Thomas,'' katanya.
-- BERNAMA
#ABM
#Akademi Badminton Malaysia
#Asia
#badminton
#BAM
#Goh V Shem
#Olimpik Rio
#Piala Thomas
#sukan