Usain Bolt nafi bertanding di Sukan Komanwel 2018

Astro Arena
Februari 3, 2017 10:28 MYT
BOLT: Saya sudah fikir sedalam-dalamnya.
JAGUH pelari pecut Jamaica, Usain Bolt, menegaskan Kejohanan Dunia tahun ini di London akan menjadi medan terakhirnya sebelum bersara sekaligus menafikan desas-desus dia akan beraksi di Sukan Komanwel 2018.
Bolt yang mendominasi saingan olahraga sejak tahun 2008, telah mengutip lapan pingat emas Olimpik di samping memegang rekod dunia dalam acara 100 meter, 200m dan 4x100m.
Pada 2016, dia mengesahkan tempatnya dalam sejarah Sukan Olimpik selepa tiga kejayaan di Rio 2016 sebelum mengumumkan akan bersara hujung tahun ini.
Bulan Ogos akan menyaksikan Bolt beraksi buat kali terakhir di London dan atlet berusia 30 tahun itu menegaskan tidak akan mengubah pendiriannya.
"Saya sudah fikir sedalam-dalamnya, saya tidak akan beraksi di Sukan Komanwel 2018," katanya.
"Untuk beraksi musim ini sahaja saya telah menempuh latihan yang cukup mencabar jadi saya tidak rasa tahun depan saya akan beraksi."
Bolt seharusnya menamatkan karier dengan kutipan sembilan pingat emas Olimpik namun pingat emas dimenanginya di Olimpik Beijing pada 2008 dalam acara 4x100m telah ditarik balik gara-gara rakan sepasukan, Nesta Carter gagal ujian doping.
Keputusan penarikan pingat tersebut di umum minggu lalu.
Asafa Powell, salah seorang pelari ketika di Beijing bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tidak kecewa dengan Carter.
"Saya enggan memikirkan terlalu banyak mengenai perkara itum" ujar atlet berusia 34 tahun itu.
"Kami telah melakar pelbagai kejayaan di pentas dunia. Kami berlari sebagai satu pasukan jadi sudah tentu kami juga akan memberikan sokongan kepadanya."
#2018 #jaguh pecut dunia #olahraga #Sukan Komanwel #Usain Bolt
;