Usaha bersepadu perlu untuk kemajuan sukan Muay Thai

Anthea Yap
November 1, 2017 07:00 MYT
Pemenang pingat Emas kategori berat badan 54 kilogram, Muhammad Fakhrullah Mohd Fadillah, 14 tahun menyifatkan acara ini memberi peluang kepada dirinya menguasai teknik dan membina ketangkasaan dalam sukan Muay Thai.
Usaha bersepadu perlu digerakkan oleh kelab Muay Thai di Malaysia sekiranya sukan tempur yang berasal dari negara jiran itu ingin dimajukan.
Setakat ini, pembabitan remaja dalam sukan itu masih di peringkat usaha persendirian dengan melibatkan perbelanjaan peribadi.
Kesedaran dan minat dalam Muay Thai mula kembali semarak dengan berita kemasukan sukan ini sebagai sukan baharu yang akan dipertandingkan pada kejohanan Sukan Olimpik 2024.
Pengarah Program Kejohanan Muay Thai Terbuka Johor, Edee Noor Iskandar Jumaat berkata usaha utama yang perlu dilaksanakan adalah galakkan pembabitan remaja di peringkat akar umbi.
"Kita mesti bergabung dan berkerjasama untuk menaikkan sukan Muay Thai.
"Kita bukan memikirkan kepada periuk nasi sendiri tetapi kita fokus kepada pembangunan sukan negeri ataupun pembangunan sukan Malaysia".
Sekiranya atlet ini tidak dibela dan tidak diberi peluang mereka akan hilang iaitu ke mana mereka akan pergi selepas itu," katanya ketika ditemui di Kejohanan Muay Thai Terbuka Johor di Stadium Tertutup Perbandaran Pasir Gudang baru baru ini.
Seramai 128 atlet Muay Thai peringkat amatur dan antarabangsa mengambil bahagian dalam acara berkenaan.
Sementara itu, pemenang pingat Emas kategori berat badan 54 kilogram, Muhammad Fakhrullah Mohd Fadillah, 14 , menyifatkan acara ini memberi peluang kepada dirinya menguasai teknik dan membina ketangkasaan dalam sukan Muay Thai.
"Saya berasa takut ketika perlawanan bermula kerana saya tidak tahu lawan saya ketika itu.
"Saya telah mencuba sedaya upaya saya dengan menggunakan teknik yang dipelajari saya", katanya.
Fakhrullah menewaskan lawannya Muhammad Fadzri Aiman, 14 tahun dari Johor pada kejohanan itu.
#Edee Noor Iskandar #kejohanan olimpik #Muay Thai #Program Kejohanan Muay Thai Terbuka Johor #sukan
;