'Usah lagi fikirkan Piala Asia, fokus misi akan datang'
Sinar Harian
Februari 1, 2024 09:00 MYT
Februari 1, 2024 09:00 MYT
KETIKA Piala Asia Qatar 2023 kian hangat berlangsung di Doha menuju ke saingan suku akhir, warga bola sepak tempatan sudah boleh mengambil sikap 'bertenang' untuk bersama-sama pasukan negara mencongak langkah ke depan agar skuad Harimau Malaya kekal relevan di pentas antarabangsa.
Penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop berkata, semua pihak termasuk para peminat wajar sedar bahawa kejayaan Malaysia mengikat Korea Selatan 3-3 sebagai sudah berlalu dan pengembaraan skuad Harimau Malaya masih berliku.
Malah beliau berkata, momen suka duka yang dipahat di Qatar perlu menjadi batu loncatan buat semua pihak bersama-sama membentuk skuad Harimau Malaya yang lebih ampuh menjelang tahun-tahun mendatang.
"Saya minta peminat 'move on' dan tak perlu nak sembang lebih-lebih pasal Piala Asia.
"Kita tak layak pun (tersekat di peringkat kumpulan), sekadar seri dengan Korea dan pasukan itu mara ke suku akhir.
"Kita terlalu sibuk dengan keputusan sedangkan tak berapa banyak impak.
"Kita bergembira tak kalah dapat ikat Korea, tapi secara keseluruhan kita tak ke mana dalam Piala Asia.
"Baru dapat satu mata, pada edisi sebelum ini kosong mata dan pada 2023 dapat tiga gol dan satu mata.
"Alhamdulillah, cukup sudah, move on," katanya kepada Sukan Sinar.
Beliau turut memuji langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sudah merencana dua perlawanan persahabatan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman bulan depan.
"Kalau dapat tahu lebih awal (lawan aksi persahabatan) lagi bagus, sebab peminat nak tahu," katanya.
Justeru Zainal Abidin berharap menjelang aksi tersebut jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon agar tidak mengulangi kesilapan memanggil pemain yang boleh dianggap sebagai 'suam-suam kuku' kerana ia boleh merugikan pasukan.
Beliau berkata, pemain yang bakal dipilih kelak perlu berada dalam prestasi terbaik tanpa sebarang masalah agar proses latihan dan perancangan buat pasukan berjalan dengan lancar.
"Langkah pertama pastikan pemain yang datang untuk jalani latihan segar dan bebas daripada sebarang masalah.
"Usah fikir Piala Asia Qatar lagi sebab sudah lepas.
"Sekarang perlu fikir tentang misi akan datang lawan Oman (away dan home), Kyrgyzstan (away) dan Taiwan di laman sendiri.
"Mudah-mudahan dia belajar daripada kesilapan lepas. Tidak perlu bawa lagi pemain tak diguna pakai.
"Selepas latihan perlu ada aksi kompetitif.
"Andai sekadar latihan dan selepas itu bergerak ke Muscat lawan Oman, memang tak cukup.
"Itu persediaan tak betul," katanya.
Zainal Abidin mencadangkan agar senarai pemain menunggu untuk saingan Piala Asia Qatar baru-baru ini boleh dipertimbangkan untuk diserap ke dalam skuad.
"Prestasi Naxso Insa dan Mohamadau Sumareh mungkin boleh dipertimbangkan semula.
"Cari pemain lain yang kerap beraksi sepanjang musim seperti dari Terengganu FC dan Kedah Darul Aman.
"Mereka bermain secara kompetitif, tapi jarang mendapat perhatian daripada Pan-gon.
"Pemain seperti Quentin Cheng mungkin boleh dipanggil selain Zhafri Yahaya yang beraksi cemerlang tapi masih lagi tiada ruang untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
"Syafiq Ahmad pun mungkin boleh dipertimbangkan, walaupun jarang bermain, tapi dia amat bersedia.
"Agak malang juga sebab beberapa pemain dari skuad bawah 23 tahun (B-23) dilihat sudah bersedia bermain dalam skuad senior tak dapat digunakan seperti Safwan Mazlan, Mukhairi Ajmal dan Nooa Laine," katanya. - Sinar Harian