UNL: Deschamps lega Perancis kekang Ronaldo
Astro Arena
Oktober 12, 2020 12:27 MYT
Oktober 12, 2020 12:27 MYT
PERANCIS 0 PORTUGAL 0
Didier Deschamps lega anak buahnya merantai Cristiano Ronaldo sambil mengakui Perancis gagal menjelmakan prestasi terbaik ketika seri tanpa jaringan dengan Portugal, awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan buntu dalam pertembungan puncak Kumpulan A3, Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stade de France itu yang membenarkan kemasukan 1.000 peminat.
Ia adalah pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan sejak kemenangan Portugal dalam final Euro 2016 tetapi aksi kali ini gagal menghasilkan banyak drama.
Ronaldo sempat menyaksikan satu percubaan lewatnya ditampan Hugo Lloris dalam pertembungan di antara juara dunia dan Eropah itu.
"Kami sepatutnya boleh beraksi dengan lebih baik lagi," kata pengurus Les Bleus itu,
"Dengan kualiti yang dimiliki lawan, kami mengambil langkah berwaspada dan malam ini kami tidak diancam Ronaldo.
"Lebih sukar buat pemain di jentera serangan dalam perlawanan ini. Kadang-kadang pergerakannya tidak bagus dan kadangkala hantarannya pula tidak sampai.
"Kami harus melakukan yang lebih baik lagi di bahagian penyudah untuk memenangi perlawanan ini."
Deschamps turut memuji barisan pertahanannya yang kental mematahkan setiap serangan lawan.
"Kami sedar bahawa Portugal merupakan sebuah pasukan handalan, kami lebih genar membincangkan kualiti pertahanan kedua-dua pasukan," katanya.
"Pemain tengah sangat cekap daripada segi teknikal. Mereka membolehkan kami menguasai bola terutama dalam babak kedua."
Perancis adalah bertemu Croatia untuk perlawanan keempat UNL awal pagi Khamis ini.