UNL: Belgium hampir pasti sisih Romelu Lukaku jumpa Poland
Astro Arena
Jun 7, 2022 10:45 MYT
Jun 7, 2022 10:45 MYT
TONGGAK utama Belgium, Romelu Lukaku, sudah pasti terlepas pertembungan Liga Negara-Negara (UCL) dengan Poland akibat kecederaan sambil Roberto Martinez menggesa anak buahnya memadam kekalahan kepada Belanda.
Skuad kendalian Martinez itu berada di ranking kedua dunia tetapi dimalukan 1-4 kepada Belanda, Sabtu lalu.
Lukaku terhincut-hincut dalam separuh masa pertama ketika kedudukan perlawanan masih seimbang sebelum jaringan Steven Bergwijn, Denzel Dumfries dan Memphis Depay memastikan kemenangan pertama skuad The Oranje di venue seteru itu sejak 1997.
Selepas perlawanan, Martinez memberi jaminan bahawa isu Lukaku itu hanyalah kecederaan ringan sebelum pada malam tadi Belgium mengesahkan penyerang Chelsea tersebut tidak dapat diturunkan untuk bertemu Poland, awal pagi esok.
The Red Devils, bagaimanapun, memaklumkan bahawa Lukaku telah memulakan sesi rawatan tetapi tidak jelas sama ada dia sempat cergas untuk baki pertembungan menentang Wales pada bulan ini selain perlawanan timbal balik dengan Poland.
Biarpun mungkin tidak dapat menggunakan mesin golnya itu ketika Belgium sedang giat menjalani persiapan ke Piala Dunia Qatar, ketua jurulatih tersebut menyeru pasukannya supaya menjadikan Poland sebagai korban terbaru.
“Kekalahan Belanda mengingatkan kami tentang tahap yang perlu kami capai untuk Piala Dunia,” katanya kepada pemberita.
"Permainan sukar seperti ini akan membantu kami bertambah baik. Kami tidak gemar dengan kekalahan tetapi kami akan belajar.
'Ia adalah proses yang berterusan dan ujian seterusnya akan datang dengan pantas iaitu menentang Poland."