Universiade: Umar tamatkan saingan di tempat ketujuh

Bernama
Ogos 3, 2023 06:15 MYT
Umar menamatkan saingan final di tempat ketujuh dalam acara 400m lelaki Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China, pada Khamis. - Facebook/Sukan IPT
KUALA LUMPUR: Hasrat juara Sukan SEA acara 400 meter (m) lelaki, Umar Osman menaiki podium di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China, tidak kesampaian selepas menamatkan saingan final acara itu di tempat ketujuh pada Khamis.
Pelari berusia 20 tahun dari Johor itu yang bermula di lorong pertama, mencatat masa 46.41 saat (s) pada saingan yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan Shuangliu.
Atlet Portugal, Joao Ricardo Agostinho Coelho muncul pelari terpantas apabila melepasi garisan penamat dengan catatan 44.79s, diikuti wakil Australia, Reece Holder di tempat kedua dengan catatan sama manakala wakil Romania, Mihai Sorin Dringo di kedudukan ketiga (45.27s).
"Saya tak jangka terpaksa bermula di lorong paling dalam, saya lebih suka berada di lorong kelapan.
"Saya minta maaf tak dapat sumbang pingat buat negara, apa pun ia pengalaman berharga buat saya," katanya menerusi aplikasi WhatsApp yang dikongsi dengan media.
Umar sebelum ini mencipta sensasi tersendiri di Chengdu apabila memecahkan rekod kebangsaan buat kali kedua dalam tempoh kurang 24 jam dengan mencatat masa baharu 46.09s pada Rabu.
Beliau sebelum itu mencatat 46.33s pada peringkat saringan sekali gus memecahkan rekod kebangsaan 46.34s dilakarnya pada Sukan SEA 2023 Kemboja.
Bagi acara tukul besi wanita pula menyaksikan Grace Wong berjaya melangkah ke pentas final Khamis, selepas beliau melakukan lontaran sejauh 61.37 meter (m) untuk berada pada kedudukan tiga teratas keseluruhan di pusingan kelayakan pada Rabu.
-- BERNAMA
#umar osman #universiade #pecah rekod kebangsaan #pelari
;