Universiade: Umar layak ke separuh akhir 400m, perbaharui rekod kebangsaan
Bernama
Ogos 1, 2023 13:25 MYT
Ogos 1, 2023 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Juara Sukan SEA acara 400 meter (m) lelaki, Umar Osman meneruskan kecemerlangan dengan memperbaharui rekod kebangsaan miliknya di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China, hari ini.
Pelari berusia 20 tahun dari Johor itu mencatat 46.33 saat (s) pada pusingan saringan di Stadium Shuangliu Sports Centre untuk menamatkan saingan di tempat kedua secara keseluruhan.
Catatan itu bukan sahaja melayakkan Umar ke separuh akhir yang dijadualkan esok, malah meletakkannya pada posisi untuk memburu pingat.
Umar sebelum ini mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas 400m dengan memecahkan rekod kebangsaan berusia 22 tahun dengan catatan 46.34s.
Kejayaan itu memadam rekod 46.41s milik Mohd Zaiful Zainal Abidin yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2001 di Brunei.
Sementara itu, wakil Australia Reece Holder muncul pelari terpantas bagi sesi saringan hari ini dengan catatan 46.10s, manakala Naohiro Jinushi dari Jepun di kedudukan ketiga dengan 46.43s.
-- BERNAMA