United minta naikkan harga tawaran RM32.65 bilion
Sinar Harian
Mac 15, 2023 13:59 MYT
Mac 15, 2023 13:59 MYT
MANCHESTER United mengadakan pertemuan dengan bakal pelabur yang berminat untuk membeli kelab itu bagi membincangkan alasan di sebalik harga tinggi dikenakan oleh Keluarga Glazer.
Sebelum ini, Keluarga Glazer menetapkan £6 bilion (RM32.65 bilion) untuk mereka yang ingin mengambil alih United dari tangan mereka.
Bagaimanapun, kedua-dua pelabur berpotensi itu tidak mengemukakan tawaran setinggi itu.
Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani hanya mengemukakan sekitar £4.5 bilion (RM24.49 bilion) untuk membeli 100 peratus saham United manakala tawaran Sir Jim Ratcliffe juga tidak setinggi jangkaan Glazers.
Seperti dilaporkan oleh ESPN, United bertemu dengan wakil kedua-dua pelabur untuk menjelaskan mengapa mereka menetapkan harga tersebut dan salah satu perkara diketengahkan ialah kumpulan penyokong mereka yang tersebar di seluruh dunia.
Siri pembentangan itu dijangka selesai hujung minggu ini dan United berharap agar kedua-dua pelabur itu menyemak semula nilai tawaran yang dikemukakan.
Sheikh Jassim diketahui bertegas tidak akan membayar harga yang dimahukan Keluarga Glazer kerana mahu mengeluarkan dana untuk mengubahsuai stadium, pangkalan latihan, serta membina pasukan yang kuat supaya United dapat bersaing secara konsisten di arena domestik dan Eropah. - Sinar Harian