United mahu 'lamar' Richarlison
Sinar Harian
Mac 22, 2022 12:17 MYT
Mac 22, 2022 12:17 MYT
PENGENDALI interim Manchester United, Ralf Rangnick mendedahkan pihaknya berminat untuk 'melamar' penyerang Everton, Richarlison dalam usaha memperkuatkan lagi jentera serangan kelab berkenaan.
Menurutnya, kehadiran Richarlison dilihat mampu menyelesaikan ketumpulan jentera serangan skuad The Red Devils yang cukup ketara ketika ini.
Malah katanya, biarpun memiliki barisan penyerang berwibawa seperti Cristiano Ronaldo, Edinson Cavani, Marcus Rashford, namun ia masih belum dapat menambah ‘sengat’ pada jentera serangan.
“Kita memang bergelut untuk menjaringkan gol dan ia memerlukan perubahan dengan membawa masuk penyerang baharu.
“Untuk itu, kami berminat untuk membawa masuk Richarlison yang mempamerkan aksi baik ketika bersama Everton.
“Secara keseluruhannya, dia dilihat sebagai calon terbaik bagi membantu ‘menajamkan’ lagi jentera serangan pasukan,” katanya.
Untuk rekod, United menjaringkan 48 gol berbanding bolos 40 gol daripada 29 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berbanding Everton yang kini berada pada kedudukan ke-17 dengan hanya meraih 25 mata setelah mengharungi 27 perlawanan setakat ini.
Mengulas lanjut, Rangnick berkata, dia yakin mampu menarik minat Richarlison ke Old Trafford berikutan situasi semasa skuad The Toffees itu ketika ini.
“Selain United difahamkan Richarlison turut menarik minat Real Madrid yang kini dikemudi oleh bekas pengendali Everton, Carlo Ancelotti.
“Malah, difahamkan Barcelona turut berminat bagi mendapatkan khidmat Richarlison,” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian