United enggan berputus asa dapatkan Hojlund

Sinar Harian
Julai 3, 2023 12:46 MYT
Aksi Hojlund meraikan kejayaan menjaringkan gol untuk pasukannya ketika kelayakan Euro 2024 kumpulan H antara Slovenia dan Denmark di Stadium Stozice, Ljubljana, Slovenia, 19 Jun 2023. - Gambar fail AP
KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United enggan berputus asa untuk mendapatkan khidmat Rasmus Hojlund apabila membuat tawaran kedua kepada Atalanta bernilai 40 juta pound (RM237.16 juta).
Red Devils sebelum ini tersentak apabila tawaran mereka bernilai 30 juta pound (RM177.17 juta) untuk mendapatkan penyerang itu ditolak.
Skuad bimbingan Erik ten Hag memulakan misi musim panas ini dengan 'melamar' Harry Kane menerusi tawaran 100 juta pound (RM592.89 juta).
Tottenham Hotspur bagaimanapun enggan berunding dengan mereka dan sasaran kedua iaitu pemain Napoli, Victor Osimhen, namun penyerang itu terlalu mahal untuk dibeli.
Juara Itali itu meletakkan harga 150 juta pound (RM889.345 juta) bagi penyerang Nigeria berusia 24 tahun itu.
Justeru, penyerang Denmark, Hojlund, 20, yang meledak sembilan gol dalam 32 aksi Serie A musim lalu dan menghasilkan 10 jaringan daripada 34 penampilan dalam semua kejohanan musim lalu menjadi pilihan Red Devils.
United turut berdepan Fair Play Kewangan (FFP) selepas membelanjakan 55 juta pound (RM326 juta) untuk mendapatkan pemain tengah Chelsea, Mason Mount.
Red Devils ketika ini masih memiliki baki 65 juta pound (RM385.38) untuk dibelanjakan bagi mendapatkan penjaga gol baharu dan penyerang selepas kontrak David de Gea ditamatkan.
Penjaga gol Sepanyol itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al-Nassr - kelab Cristiano Ronaldo bermain ketika ini.
United pada masa sama memerlukan penyerang baharu susulan kecederaan yang kerap melanda Anthony Martial selain kurang menyengat di depan gawang.
#Manchester United #Rasmus Hojlund #perpindahan pemain #David de Gea
;