United dalam fasa akhir tentukan nasib Ten Hag

Sinar Harian
Mei 27, 2024 12:20 MYT
Ten Hag juga telah menandatangani surat terbuka yang dikeluarkan skuad United kepada penyokong semalam yang mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka sepanjang musim sukar. - Gambar/ AP
ERIK ten Hag masih menanti nasibnya bersama kelab itu sama ada kejayaan memenangi Piala FA cukup untuk menyelamatkan tugasnya sebagai pengendali Manchester United.
Kemenangan 2-1 United ke atas Manchester City di Wembley dibayangi spekulasi mengenai masa depan Ten Hag selepas pemilik bersama Ineos mengadakan perbincangan dengan bakal pengendali baharu pasukan itu, Thomas Tuchel, Mauricio Pochettino, Thomas Frank dan Kieran McKenna.
United kini sedang menjalankan perbincangan akhir sebelum membuat keputusan mengenai Ten Hag, yang telah dipantau oleh pengarah sukan Ineos Sir Dave Brailsford dan pengarah teknikal baharu kelab, Jason Wilcox dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sir Jim Ratcliffe masuk ke bilik persalinan United selepas perlawanan untuk mengucapkan tahniah kepada Ten Hag dan pemainnya, tetapi pemilik Ineos itu tidak menghadiri perayaan di hotel Marriott di Mayfair pada malam Sabtu.
Ten Hag masih berbaki 13 bulan dalam perjanjian tiga tahun yang ditandatanganinya selepas berpindah dari Ajax pada 2022 tetapi beberapa kakitangannya, seperti jurulatih penyerang Benni McCarthy akan tamat kontrak bulan depan.
Prospek Ten Hag kelihatan suram selepas penamat liga terburuk United dalam tempoh 34 tahun bermakna mereka terlepas kelayakan automatik ke Eropah untuk kali kedua sejak 1990.
Namun kemenangan ke atas City memberikannya trofi kedua dalam dua tahun dan mengesahkan tempat ke Liga Europa.
Ten Hag juga telah menandatangani surat terbuka yang dikeluarkan skuad United kepada penyokong semalam yang mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka sepanjang musim sukar.
"Kami tahu betapa bermakna kelab ini kepada begitu ramai orang - di Manchester dan di seluruh dunia.
"Sokongan yang anda berikan kepada kami, walaupun semasa kami gagal mencapai piawaian yang kami tetapkan untuk diri kami sendiri, sangat sukar dipercayai.
"Kami tahu musim ini tidak cukup baik dan kami tidak membuat alasan. Tetapi kami menamatkannya dengan cara yang terbaik, meraikan trofi bersama-sama," kata surat itu. - Sinar Harian/ Agensi
#Manchester United #Erik ten Hag #Piala FA #prestasi buruk
;