United boleh jadi juara Eropah, kata Solskjaer
Astro Arena
Mac 7, 2019 10:32 MYT
Mac 7, 2019 10:32 MYT
PENGURUS sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, yakin pasukannya mampu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim ini ketika mereka meraih kemenangan dramatik untuk menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Parc Des Princess, awal pagi tadi.
Jaringan penalti Marcus Rashford dalam waktu kecederaan memastikan kemenangan The Red Devils di Paris, ketika United menjadi pasukan pertama berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam perlawanan pertama di laman sendiri.
Kekalahan 0-2 di Old Trafford bulan lalu seakan-akan hanya tinggal memori sebaik Romelu Lukaku menghasilkan jaringan berganda dalam babak pertama dan Rashford menyudahkan sepakan penalti kontroversi pada lewat permainan selepas bola terkena tangan Presnel Kimpembe.
Dengan penyingkiran pasukan pilihan seperti Real Madrid dan Borussia Dortmund, Solskjaer ditanya sama ada peluang pasukannya menjulang piala Eropah itu sebagai sesuatu yang realistik.
"Sudah tentu kami sedang berkeyakinan tinggi," katanya kepada wartawan.
"Kami mampu melakukannya, namun perlu menunggu keputusan undian dan menghadapi setiap perlawanan yang akan tiba.
"Kami sedang berdepan masalah kecederaan dan penggantungan, namun ia mungkin menjadi perkara yang baik hari ini di mana kami mempunyai pasukan yang lebih segar dan bertenaga.
"Kami sedar kami perlu bertahan, kekal rendah diri untuk bekerja keras dan kami mempunyai pasukan untuk melakukannya," katanya.
Tumpuan Solskjaer kini beralih kepada pertembungan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates dengan pertemuan getir berdepan Arsenal itu akan menentukan rekod tanpa kalahnya dalam saingan domestik sejak mengambil alih pasukan itu pada penghujung tahun lalu.
Ditanya sama ada kejayaan menyingkirkan PSG itu akan memastikan kedudukannya sebagai pengurus tetap, Solskjaer kekal bersikap pragmatik seperti biasa.
"Saya hanya mahu melakukan yang terbaik dengan tugasan ini setiap hari.
"Selepas itu kita akan lihat apa yang berlaku.
"Ia merupakan waktu yang hebat dengan barisan pemain dan pegawai pasukan yang bekerja dengan saya.
"Saya hanya mampu katakan yang saya akan menikmati setiap saat ini selagi saya berpeluang.
"Jika ia selama dua hingga tiga bulan lagi atau selama mana ia akan terjadi, saya akan terus menikmatinya dan saya akan tersenyum.
"Saya sedang merancang, untuk kelab ini, untuk masa depan.
"Tidak kira sama ada saya masih di posisi ini atau tidak pada musim depan, saya akan terus memberikan nasihat dan pandangan saya.
"Saya juga seorang penyokong dan saya mahukan yang terbaik buat United.
"Kami merancang untuk melepasi waktu sukar dan kami berjaya.
"Ia amat istimewa apabila anda seorang jurulatih atau pengurus yang melakukannya.
"Suasana dalam bilik persalinan amat luar biasa," katanya ketika meraikan kejayaan itu dengan bekas pengurus United, Alex Ferguson, dan bekas rakan sepasukannya, Eric Cantona.
"Untuk melihat seluruh kelab ini bersatu dengan pemilik, bekas pengurus dan bekas pemain, ia merupakan suasana yang luar biasa," tambahnya.