Umur bukan penghalang Johnathan cipta sejarah di Paris

Bernama
Julai 26, 2024 12:56 MYT
Johnathan Wong, 31 tahun, dijadual beraksi dalam acara kegemarannya iaitu 10 meter (m) air pistol lelaki bagi pusingan kelayakan esok. - Bernama
KUALA LUMPUR: Umur merupakan faktor penghalang terbesar atlet untuk kekal bersaing secara kompetitif dalam kebanyakan acara sukan sekali gus menjadikan penembak Olimpik negara Johnathan Wong antara yang 'bertuah' pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Atlet berusia 31 tahun yang meraih penampilan kedua Olimpik selepas edisi Rio 2016 itu dijadual beraksi dalam acara kegemarannya iaitu 10 meter (m) air pistol lelaki bagi pusingan kelayakan di Pusat Menembak Chateauroux di wilayah Centre-Val de Loire esok pada pukul 4:30 petang waktu Malaysia.
Di sebalik umur beliau, Johnathan yang semakin matang dalam aksinya tidak perlu bimbang faktor usia akan menjejaskan persembahannya seperti dialami kebanyakan atlet dalam sukan bola sepak, olahraga mahupun terjun.
Ini kerana kejayaan dalam sukan menembak bergantung antaranya pada keupayaan fizikal, kekuatan mental dan disiplin atlet dalam fasa persediaan dan semasa di lapangan sekali gus menyaksikan faktor komposisi psikologi sama penting dengan kemahiran teknikal.
Atlet Vietnam Hoang Xuan Vinh membuktikan faktor umur tidak begitu relevan dalam sukan itu apabila memenangi emas Olimpik pertama negara itu pada usia 42 tahun selepas mengungguli acara 10m air pistol lelaki pada edisi Rio 2016.
Empat tahun kemudian pada edisi Tokyo 2020 menyaksikan penembak Iran Javad Foroughi turut meraih emas 10m air pistol lelaki pada usia 41 tahun.
Bagi edisi Paris 2024, penembak Turkiye Yusuf Dikec, 51, muncul atlet tertua daripada keseluruhan 33 peserta yang akan mengambil bahagian dalam acara 10m air pistol lelaki, selain purata umur peserta ialah 29.6 tahun.
Penembak termuda kali ini ialah atlet Chile Diego Santiago Andres Parra Vergara yang bakal membuat debut Olimpik seawal usia 16 tahun.
Menyedari tingginya intensiti saingan di Olimpik, Johnathan membuat persediaan rapi menerusi fasa persiapan secara menyeluruh dan holistik yang beliau sifatkan sebagai pengalaman pertamanya melalui persediaan sebegitu, demi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik.
Berbekalkan persiapan yang turut diperkasa dengan bantuan dari Institut Sukan Negara (ISN), motivasi pemenang pingat emas 10m air pistol Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam itu memuncak bagi mencipta kejayaan membanggakan.
"Saya akan cuba buat terbaik sebab kita sudah pun jalankan persiapan dan berbanding dengan kali terakhir, saya fikir ini adalah persediaan terbaik yang pernah kami buat.
"Saya akan bersaing dengan 32 lagi peserta dan kesemuanya mempunyai prestasi yang lebih kurang sama, jadi ini semua bergantung pada prestasi di hari pertandingan," katanya yang mula berjinak dalam sukan menembak pada usia 13 tahun, ketika ditemui baru-baru ini.
Hanya lapan penembak terbaik pada pusingan kelayakan akan layak ke final pada keesokan harinya (28 Julai).
Misi utama Johnathan di Paris ialah mengatasi catatan peribadi terbaiknya musim ini iaitu 579 mata yang dicatat pada kejohanan terbuka menembak di Denmark tahun ini.
Rekod kebangsaan acara itu dipegang oleh Johnathan iaitu 585 mata yang dilakukan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di Subang pada 2015.
Johnathan antara atlet Malaysia terawal layak secara merit ke Paris 2024 selepas menduduki tempat keempat acara 10m air pistol di Kejohanan Menembak Dunia di Chanhgwon, Korea Selatan pada Oktober 2023.
Sewaktu Rio 2016, beliau mendapat tempat ke-28 dalam acara 10m air pistol dan ke-37 dalam acara 50m pistol.
Johnathan merupakan atlet menembak ketiga negara yang beraksi di Sukan Olimpik selepas Joseph Chong pada Sukan Olimpik di Melbourne, Australia pada 1956 dan Nur Suryani Mohamed Taibi pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirainya awal pagi tadi akan berlangsung sehingga 11 Ogos.
PROFIL
Nama: Johnathan Wong
Umur: 31 tahun
Asal: Melaka
Hobi: Berkebun
Penampilan Olimpik: Rio 2016
Pencapaian: Pingat emas 10m air pistol lelaki Sukan SEA 2017, emas 10m air pistol lelaki Sukan SEA 2021 dan keempat dalam acara 10m air pistol lelaki Kejohanan Menembak Dunia 2023
-- BERNAMA
#atlet menembak #olimpik paris #johnathan wong #penampilan kedua #faktor usia