Umum persaraan: Terima kasih, Tomas Rosicky!

Astro Awani
Disember 20, 2017 07:34 MYT
ROSICKY: Saya tidak lagi mampu mempersiapkan diri untuk bola sepak profesional. - Gambar fail
Bekas pemain tengah Arsenal dan Republik Czech Tomas Rosicky secara rasmi umum persaraan daripada dunia bola sepak antarabangsa.
Rosicky ketika mengumumkan keputusan itu dalam satu sidang media di Prague pada Rabu memaklumkan kecederaan berpanjangan mengekang hasratnya untuk terus beraksi.
“Saya tidak lagi mampu mempersiapkan diri untuk bola sepak profesional,” kata pemain berusia 37 tahun itu seperti yang disiarkan laman web rasmi Sparta Prague.
Ironinya, Rosicky memulakan kerjayanya di Sparta dan kelab itu juga adalah yang terakhir buatnya beraksi sebagai pemain profesional.
“Saya melahirkan penghargaan kepada Sparta kerana memberi peluang untuk saya memulakan langkah awal dalam bolasepak dan membenarkan saya mengucapkan selamat tinggal kepada tempat yang paling saya sayangi,” ujar Rosicky.
Rosicky yang pernah menerima jolokan 'The Little Mozart' menyertai Arsenal pada 2006 selepas melengkapkan penghijrahannya dari Borrusia Dortmund. 10 tahun bersama The Gunners, Rosicky bagaimanapun hanya mampu memenangi dua Piala FA.
Bersama Republik Czech pula Rosicky mendapat 105 caps dan mewakili negara itu dalam lima temasya utama.
Dengan keputusan ini Rosicky menjadi pemain terakhir daripada 24 pemain yang pernah tampil dalam iklan ikonik Piala Dunia 2002 Nike yang menggantung but.
#Arsenal #Borrusia Dortmund #Republik Czech #Sparta Prague #Tomas Rosicky
;