Umar mahu lebur lagi rekod kebangsaan
Bernama
Mei 18, 2023 17:41 MYT
Mei 18, 2023 17:41 MYT
JOHOR BAHRU: Atlet muda kebangsaan Umar Osman masih belum berpuas hati dengan pencapaian mengejutkan di Sukan SEA Kemboja dan bertekad untuk meleburkan lagi rekod kebangsaan.
Pada temasya dwitahunan yang baru melabuhkan tirai semalam, atlet berusia 20 tahun itu mencatat 46.34 saat (s), memadam rekod kebangsaan acara 400 meter lelaki milik Mohd Zaiful Zainal Abidin 46.41s pada Kejohanan Olahraga Asia Junior di Brunei pada 2001.
Atlet kelahiran Johor itu berkata melangkah kali pertama ke Sukan SEA dengan status underdog telah menyuntik semangatnya untuk menempa nama dan berazam membawa pulang pingat emas buat Malaysia.
"Memang saya terkejut dapat pecah rekod tetapi disebabkan saya turun ke temasya ini sebagai underdog, rasa sangat ajaib.
"Rasa puas, tetapi saya tidak boleh selesa terlalu awal dan mahu sasar emas lagi dan catat rekod baharu. Bagi saya rekod itu dicipta untuk dipecahkan dan saya bertekad mahu pecahkan lagi dan kekal konsisten," katanya ketika ditemui di Program Gemilang 25 Tahun Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan Sambutan Hari Raya, di sini hari ini.
Umar yang membantu kuartet negara membawa pulang gangsa acara 4x400 meter lelaki pada Sukan SEA berkata buruannya selepas ini adalah di temasya Sukan Universiti Dunia 2023 dan Sukan Asia, kedua-duanya dijadualkan September ini.
"Latihan (menghadapi keduanya) belum lagi diperincikan, tetapi saya sedia dan melakukan latihan di padang sekitar PIS dan hujung minggu pula saya berlatih di EduCity dan Mount Austin serta di Singapura," katanya.
Beliau pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatihnya selama dua tahun iaitu Simon Lau Ching Meng dan bekas atlet Olimpik negara Nordin Mohamed Jadi yang sentiasa memberikan suntikan semangat.
"Nordin sering memberikan saya inspirasi dan motivasi. Walaupun tidak pernah melatih saya, tetapi kepercayaan yang beliau berikan kepada saya dan didikan daripada jurulatih sudah cukup untuk membantu saya terus ke hadapan," katanya.
Di Kemboja, Umar menewaskan pelari Filipina, Umajesty Wesley Lachica Williams (46.52 s) yang meraih perak manakala gangsa milik Frederick Cabatu Ramirex juga daripada Filipina.
-- BERNAMA