Umar mahu kekal momentum rekod kebangsaan di Hangzhou

Bernama
September 27, 2023 21:35 MYT
Umar nyatakan hasrat untuk mencapai sasaran masa di bawah 46 saat sekali gus berada dalam kelompok lapan terbaik temasya berkenaan. - Gambar fail
HANGZHOU: Bintang olahraga negara, Umar Osman berharap untuk mengekalkan momentum larian rekod kebangsaannya sekali gus layak ke saingan akhir acara 400 meter (m) lelaki pada penampilan sulungnya di temasya Sukan Asia Hangzhou, di sini.
Pelari berusia 20 tahun itu, sebelum ini, menyatakan hasrat untuk mencapai sasaran masa di bawah 46 saat (s) sekali gus berada dalam kelompok lapan terbaik temasya berkenaan.
Umar akan membuka langkah pada pusingan saringan di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, Jumaat ini.
Pelari berasal dari Johor itu, sudah tiga kali memecahkan rekod pada tahun ini, iaitu catatan 46.34s ketika meraih emas Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu serta catatan 46.33s dan 46.09s di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China, 2 Ogos lalu.
Umar, yang mengakui terpaksa mendapatkan khidmat pakar psikologi Institut Sukan Negara (ISN) sebelum tiba di sini kerana berasa emosinya agak terjejas, berkata sesi berkenaan telah meningkatkan semangat dan fokusnya untuk bersedia hadapi cabaran Sukan Asia.
"Sukan Asia merupakan antara lima pertandingan utama selain Sukan SEA, Universiade dan Kejohanan Asia yang saya mahu 'peak' (tahap puncak). Jadi saya mahu beri persembahan yang terbaik," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Padang Olahraga Kolej Sukan Zhejiang (Zhejiang College of Sports) di sini.
Berdasarkan catatan di Sukan Asia 2018, catatan masa paling tercorot untuk mara ke final adalah 46.21s, yang dilakukan oleh Kalinga Kumarage dari Sri Lanka pada separuh akhir.
Antara pelari yang dilihat sebagai pilihan pada saingan kali ini adalah dua wakil Jepun - Kentaro Sato (45.00s) dan Fugo Sato (45.13s) - serta Ashraf Osman (45.61s) dari Qatar.
Umar, yang menjalani latihan selama hampir dua bulan di Sekolah Sukan Singapura bersama jurulatihnya, Simon Lau Chin Meng sejak Ogos, berkata ia membantunya meningkatkan prestasi.
"Ada fasiliti penting yang saya boleh gunakan seperti trek dalam dewan, jadi kalau hujan pun saya masih berlatih. Jurulatih juga ada meminjam teknologi untuk buat biomekanik, atau uji ketahanan otot saya," katanya.
Ditanya mengenai perancangannya untuk berkelana ke Amerika Syarikat, beliau berkata buat masa ini, perkara itu masih dalam perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas mendapat tawaran biasiswa daripada beberapa institut di sana, termasuk Universiti Auburn.
Sekiranya beliau memutuskan untuk menyertai Auburn, beliau akan mendapat bantuan dan sokongan daripada Raja Pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang menyertai universiti itu pada awal tahun ini.
-- BERNAMA
#umar osman #rekod kebangsaan #Sukan Asia #Hangzhou
;