Umar gagal ke final, impian lebur rekod kebangsaan tidak kesampaian

Bernama
Julai 12, 2023 21:47 MYT
Pemegang rekod kebangsaan 400m itu menamatkan perlumbaan saringan satu di kedudukan keempat dengan catatan masa 46.42 saat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jaguh Asia Tenggara, Umar Osman gagal melayakkan diri ke final 400 meter (m) lelaki di Kejohanan Olahraga Asia 2023 selepas hanya mampu menduduki tempat keempat dalam saingan separuh akhir di Stadium Nasional Suphachalasai, Bangkok, hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 dan pemegang rekod kebangsaan 400m itu menamatkan perlumbaan saringan satu dengan catatan masa 46.42 saat (s) di belakang pemenang dari Jepun, Fuga Sato diikuti Singhapurage Aruna Dharshana (Sri Lanka) dan Rajesh Ramesh dari India di tempat ketiga.
Sato merekodkan 45.61s, manakala Aruna Dharshana dan Ramesh, masing-masing merakam 45.79s dan 45.91s sekali gus menyaksikan ketiga-tiga atlet itu layak secara automatik ke final.
Tiga pelari di kedudukan teratas setiap saringan dan dua pelari terpantas berikutnya layak ke final.
Catatan dilakar Umar menyebabkan pelari muda itu terlepas peluang beraksi ke final selaku dua pelari terpantas berikutnya sekali gus memadam impiannya untuk memperbaharui rekod kebangsaan 46.34s di kejohanan itu.
Sementara itu, dalam saringan dua, wakil Jepun, Kentaro Sato muncul pelari terpantas melintasi garisan penamat selepas merakam 45.62s, diikuti Yousef Ahmed Masrahi dari Arab Saudi (45.66s) dan Ashraf Hussen M Osman dari Qatar di tempat ketiga dengan masa 45.66s.
Pelari India, Muhammed Ajmal Variyathodi dan wakil Sri Lanka, Rajakaruna Mudiyanselage Rajitha Neranjan Rajakaruna pula, masing-masing menamatkan saringan dua di kedudukan keempat (45.76s) dan kelima (46.12s) layak ke final.
Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei lalu, Umar mencipta sensasi apabila meraih pingat emas 400m dengan catatan 46.34s sekali gus memecahkan rekod kebangsaan berusia 22 tahun.
-- BERNAMA
#umar osman #Kejohanan Olahraga Asia #Bangkok #400 meter #rekod kebangsaan
;