Ulama konservatif Mesir keluar fatwa bolasepak melalaikan

Agensi
Jun 17, 2014 14:25 MYT
YASSER: masa yang dihabiskan untuk menonton bolasepak menyebabkan umat Islam lalai daripada tugas dunia dan akhirat - Gambar Fail
Seorang ulama ultra konservatif Mesir mengeluarkan fatwa bahawa menonton bolasepak tidak dapat diterima oleh agama Islam kerana ia melalaikan dan boleh menghancurkan negara.
Pengasas gerakan Salafi di Mesir, Yasser Borhami berkata masa yang dihabiskan untuk menonton bolasepak menyebabkan umat Islam lalai daripada tugas dunia dan akhirat.
"Piala Dunia melalaikan umat Islam daripada melaksanakan tanggungjawab agama. Ini termasuk hal-hal terlarang yang boleh membatalkan puasa Ramadan serta perkara terlarang dalam Islam seperti tidak bertoleransi dan membuang masa," kata Yasser seperti dipetik oleh akhbar Al-Masry Al-Youm pada Ahad.
Yasser merupakan Naib Presiden gerakan Ad-Da'wa As-Salafiya yang ditubuhkan pada 1984. Gerakan itu kemudian menyertai politik dengan menubuhkan Parti Al-Nour selepas revolusi pada 2011 yang menggulingkan kerajaan bekas Presiden Hosni Mubarak.
Yasser dalam kenyataannya menegaskan sesuatu perkara boleh jatuh "haram" sekiranya ia melalaikan umat Islam daripada tanggungjawab agama, mendedahkan aurat dan menyebabkan umat Islam menyokong orang bukan Islam. Bolasepak, katanya, ada semua perkara itu.
Dalam pada itu, pensyarah kanan di Universiti Al-Azhar memberitahu Al-Masry Al-Youm bahawa Islam tidak melarang umatnya daripada menonton apa yang mereka suka asalkan tidak melibatkan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam.
Beliau juga tidak bersetuju dengan Yasser berhubung pemujaan kepada orang bukan Islam kerana katanya "umat Islam dianjurkan berbuat baik kepada orang bukan Islam selagi mereka saling hormat-menghormati".
Sementara itu, Dekan Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar, Bakr Zaky Awad berpendapat fatwa menonton bolasepak melalaikan itu dibuat oleh seorang yang bukan pakar. Beliau juga berpendapat hiburan yang dibenarkan tidak dilarang dalam Islam.
Fatwa yang dikeluarkan oleh Yasser itu dilaporkan oleh agensi berita Associated Press dan jadi tajuk berita antarabangsa. Laporan agensi itu menyebut fatwa Yasser bertentangan dengan tanggapan umum selama ini bahawa sukan seperti Piala Dunia membina persahabatan antara bangsa-bangsa di dunia.
Yasser yang kemudian ditanya tentang fatwanya itu dalam satu wawancara dengan sebuah stesen televisyen Mesir, CBC menjelaskan kenyataannya telah disalahtafsir untuk tujuan politik.
"Saya cuma kata jangan membazir masa," katanya seperti dipetik oleh AP.
Ad-Da'wa As-Salafiya sebelum ini mendukung Ikhwanul Muslimin. Ia bagaimanapun kemudian menarik balik sokongan dan memihak kepada tunjuk perasaan terhadap Ikhwanul Muslimin dan rampasan kuasa tentera yang menjatuhkan Presiden Muhammad Mursi.
Yasser sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi melalui beberapa kenyataannya termasuk fatwa melarang ucap selamat Krismas kepada Kristian Koptik.
#Brasil #Brazil #FIFA #Ola Bola #Piala Dunia 2014 #Yasser Borhami
;