Ukraine sertai Portugal, Sepanyol bida jadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2030
Bernama
Oktober 6, 2022 15:32 MYT
Oktober 6, 2022 15:32 MYT
ANKARA: Portugal dan Sepanyol pada Rabu memasukkan negara dilanda perang, Ukraine dalam bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2030.
"FPF (Persekutuan Bola sepak Portugal) dan RFEF (Persekutuan Bola Sepak Sepanyol) menggabungkan Ukraine untuk bersama membida Piala Dunia 2030.
"Kedua-dua persekutuan itu menyatakan hasrat mereka kepada UEFA yang serta-merta menyuarakan sokongan penuh mereka," menurut siaran media mengenai mesyuarat berkenaan.
Terma peranan Ukraine dalam bidaan itu akan dibincangkan dan diperhalusi dalam tempoh terdekat, lapor Agensi Anadolu.
"Contoh ketabahan dan daya bangkit rakyat Ukraine sangat mengagumkan dan inisiatif ini bematlamat untuk menyumbang kepada pemulihan negara sepanjang tempoh pembinaan semula, semuanya hasil daripada bola sepak," menurut siaran media itu.
Perang Rusia ke atas Ukraine bermula pada 24 Februari.
"Kami yakin keluarga bola sepak dunia akan menerima dan menyokong inisiatif ini. Ukraine, anda dialu-alukan dalam bidaan Piala Dunia 2030!," menurut siaran media itu.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Selasa menulis di Twitter bahawa bidaan tiga pihak itu lebih kepada simbol keyakinan kepada kejayaan bersama.
"Ukraine akan bertahan, berjaya dan akan dibangunkan semula, semuanya hasil kesepaduan rakan kongsinya. Syukur ke atas sokongan (daripada) Sepanyol dan Portugas," kata Zelenskyy.
Sepanyol menjadi tuan rumah Piala dunia FIFA 1982. Portugal dan Ukraine belum pernah menjadi hos kejohanan itu.
Portugal ialah tuan rumah EURO 2004 manakala Ukraine menjadi hos bersama EURO 2012 dengan Poland dan Sepanyol menjadi tuan rumah EURO 1964.
Pada Ogos, Argentina, Uruguay, Paraquay dan Chile menghantar bidaan bersama mereka untuk menjadi hos Piala Dunia FIFA 2030
Mesir, Greece dan Arab Saudi juga sedang berunding untuk bersama-sama membida kejohanan itu.
Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2026.
-- BERNAMA