Ukraine mungkin tidak sertai Sukan Olimpik Paris
Bernama
Disember 10, 2023 20:44 MYT
Disember 10, 2023 20:44 MYT
MOSCOW: Ukraine mungkin tidak akan menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 melainkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengubah pendiriannya, lapor Sputnik memetik pemangku Menteri Belia dan Sukan Matviy Bidnyi pada Ahad.
IOC pada Jumaat membenarkan penyertaan atlet Rusia dan Belarus ke Sukan Olimpik Paris dengan status neutral jika beberapa kriteria dipenuhi.
"Kami akan mengkaji perkara itu, jika dengan mengambil bahagian dalam pertandingan sedemikian dapat mempromosikan kedudukan kami di mata dunia kami akan berusaha ke arah itu. Jika sebaliknya Ukraine mungkin tidak akan mengambil bahagian," kata Bidnyi kepada penyiar Ukraine, Rada.
Pada Mac, IOC mengesyorkan agar atlet Rusia dan Belarus dibenarkan mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa jika mereka tidak dikaitkan dengan tentera dan tidak menyokong operasi ketenteraan khas Rusia.
Sukan Olimpik 2024 di Paris akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.
-- BERNAMA