Ujian getir pemain negara pada Terbuka Malaysia 2018

Bernama
Jun 19, 2018 06:10 MYT
Kejohanan kali ini dilihat lebih mencabar untuk wakil negara dengan kehadiran hampir kesemua pemain ranking tertinggi dunia di sini. - Gambar hiasan
Pemain negara bakal berdepan dengan cabaran getir di halaman sendiri apabila beberapa pemain handalan dunia mengesahkan penyertaan mereka pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2018 di Axiata Arena di Bukit Jalil mulai 26 Jun hingga 1 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Ng Chin Chai percaya kejohanan kali ini dilihat lebih mencabar untuk wakil negara dengan kehadiran hampir kesemua pemain ranking tertinggi dunia di sini.
"Sebagai tuan rumah, pemain kita akan mendapat sokongan padu daripada peminat tempatan dan ia adalah satu kelebihan.
"Jadi saya harap peminat tempatan akan hadir memberikan sokongan kepada pemain negara di samping menyaksikan aksi pemain-pemain terbaik dunia di sini," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Chin Chai, yang juga Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkata dalam setiap acara, ia disertai pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dan sudah pasti kejohanan tersebut memberikan saingan sengit kepada pemain negara.
Dalam acara perseorangan lelaki, jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei akan menggalas tugas yang berat untuk memburu kejuaraan kali ke-12 bagi dirinya.
Berdasarkan undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini, Chong Wei dijangka dapat melepasi pusingan pertama apabila berdepan dengan pemain Jepun, Kazumasa Sakai.
Bagaimanapun, Chong Wei, pemain ranking ketujuh dunia, dijangka mengharungi saingan yang mendebarkan apabila dijadual bertemu pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada peringkat suku akhir.
Seandainya melepasi pusingan suku akhir, laluan Chong ke final dilihat agak berliku apabila menanti di separuh akhir ialah barisan pemain utama China - Lin Dan, Chen Long dan Shi Yuqi.
Pada kejohanan tahun lepas di Petra Jaya, Sarawak, Chong Wei kalah 21-19, 21-14 kepada seteru utamanya, Lin Dan, pada final.
Kejohanan tersebut adalah salah satu daripada lima kejohanan berstatus Super 750 dalam kalendar BWF tahun ini yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah AS$700,000 (RM2.8 juta).
-- BERNAMA
#Axiata Arena #badminton #BAM #Bukit Jalil #BWF #Jepun #Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2018 #Lee Chong Wei #Lin Dan #Malaysia #ng chin chai
;