Ujian doping: Atlet minta buka sampel B - MOM
Bernama
Oktober 3, 2017 07:05 MYT
Oktober 3, 2017 07:05 MYT
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan bahawa atlet negara yang dilaporkan positif ujian doping meminta pemeriksaan dilakukan pada sampel B sebelum tampil di hadapan Jawatankuasa Pendengaran Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF).
Jika atlet berkenaan didapati bersalah berdasarkan ujian pada sampel B berkenaan yang dilakukan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), pingat yang dimenangi atlet berkenaan akan ditarik balik oleh SEAGF.
Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata selain itu, atlet berkenaan berdepan hukuman berat iaitu digantung selama empat tahun seperti yang ditetapkan oleh WADA.
"Sampel B itu telah diminta oleh atlet terbabit. Kami juga perlu mendapatkan jawatankuasa perubatan untuk meneliti perkara itu.
"Jika sampel B itu positif, SEAGF akan membuat keputusan dari segi pingat yang terlibat. Sebarang sekatan yang lain akan dibuat oleh WADA. Kami tidak boleh memberi sebarang ulasan sehingga siasatan selesai," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan Komanwel di sini hari ini.
Seorang atlet terjun negara dilaporkan gagal ujian doping yang dijalankan semasa Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lepas.
Difahamkan penerjun itu merupakan pemenang pingat emas selepas tuan rumah Malaysia menyapu bersih 13 pingat emas yang ditawarkan dalam acara terjun.
-- BERNAMA