UFC, WWE bakal bergabung, bentuk syarikat gergasi bernilai AS$21.4 bilion
Agensi
April 3, 2023 06:15 MYT
April 3, 2023 06:15 MYT
DUA jenama hiburan sukan ternama dunia, UFC dan WWE, bakal bergabung untuk membentuk sebuah syarikat yang didagangkan secara terbuka, bernilai AS$21.4 bilion (RM92.8 bilion) yang menempatkan kedua-dua entiti, lapor Yahoo! News pada Isnin.
Menerusi gabungan itu, Endeavour Group Holdings Inc, yang mengendalikan Ultimate Fighting Championship (UFC), akan memegang 51% kepentingan dalam syarikat baharu itu, manakala pemegang saham World Wrestling Entertainment (WWE) akan memperoleh baki 49% kepentingan.
“Bersama-sama, kami akan menjadi pusat kuasa sukan dan hiburan langsung bernilai AS$21.4 bilion dengan jumlah peminat melebihi satu bilion dan peluang pertumbuhan yang menarik.
“Syarikat baharu itu akan berada pada kedudukan yang baik untuk memaksimumkan nilai gabungan hak media kami, meningkatkan pengewangan penajaan, membangunkan bentuk kandungan baharu dan meneruskan penggabunganserta pengambilalihan strategik lain untuk memperkukuh lagi kestabilan jenama kami yang kukuh,” kata Pengerusi Eksekutif WWE, Vince McMahon.
UFC, organisasi seni mempertahankan diri campuran (MMA) terbesar dunia, dilaporkan bernilai AS$12.1 bilion (RM53.5 bilion), manakala WWE, organisasi gusti profesional termasyhur itu pula, dilaporkan bernilai AS$9.3 bilion (RM41.1 bilion).
"Ini adalah peluang yang jarang berlaku untuk mencipta permainan sukan dan hiburan secara langsung global yang dibina untuk tujuan industri.
“Selama beberapa dekad, Vince dan pasukannya telah menunjukkan rekod prestasi inovasi dan penciptaan nilai pemegang saham yang luar biasa, dan kami yakin Endeavour boleh memberikan nilai tambahan yang signifikan untuk para pemegang saham dengan membawa UFC dan WWE bersama-sama," kata Ketua Pegawai Eksekutif Endeavour, Ariel Emanuel.
Difahamkan McMahon dan Emanuel masing-masing akan kekal dengan jawatan mereka dalam syarikat baharu tersebut.
McMahon, 77, pada Julai tahun lalu telah mengumumkan persaraannya sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WWE selepas 40 tahun menerajui organisasi tersebut.
Menurut laporan media, ia merupakan susulan daripada siasatan dakwaan salah laku seksual yang dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun, McMahon kembali semula ke WWE pada Januari tahun lalu, selepas membayar balik syarikat itu dengan harga AS$17.4 juta (RM76.9 juta) untuk menampung kos penyiasatan, menurut pemfailan SEC.