UFC Wichita: Dos Santos tewaskan Derrick Lewis menerusi TKO

Haider Yutim
Mac 10, 2019 18:43 MYT
Dos Santos, 35, berazam ingin merebut kembali kejuraan dunia UFC heavyweight yang pernah disandangnya pada sekitar 2011 dan 2012 lalu. - Foto Twitter/@UFC
JUNIOR Dos Santos meraih kemenangan ketiganya yang berturut-turut selepas menewaskan petinju Amerika Syarikat Derrick Lewis pada aksi UFC Fight Night di Wichita, Kansas, pada Ahad.
Pertarungan divisyen heavyweight itu menyaksikan Dos Santos dari Brazil menundukkan Lewis di pusingan kedua menerusi 'technical knockout' (TKO), minit ke-58.
Dos Santos diberi amaran oleh pengadil Herb Dean pada awal pusingan pertama selepas jarinya terkena mata Lewis, sekali gus menghentikan perlawanan buat seketika.
Kedua-dua jaguh kemudiannya saling membalas serangan, di mana Lewis melancarkan tendangan padu ke bahagian kepala Dos Santos.
Ia kemudiannya dibalas Dos Santos dengan tendangan 'back kick' di bahagian perut Lewis, menyebabkan lawannya itu kesakitan.
Pusingan kedua pula dimulakan dengan satu lagi tendangan oleh Lewis ke bahagian kepala Dos Santos.
Tendangan itu sekali lagi dibalas Dos Santos, kali ini dengan tumbukan tangan kanan yang menumbangkan Lewis ke kanvas.
Situasi itu membuka peluang untuk Dos Santos melancarkan tumbukan bertubi-tubi ke bahagian kepala Lewis, serta memaksa pengadil menghentikan perlawanan.
Dos Santos, 35, berazam ingin merebut kembali kejuraan dunia UFC heavyweight yang pernah disandangnya pada sekitar 2011 dan 2012 lalu.
Dia pernah membuat percubaan untuk merampas takhta tersebut daripada Stipe Miocic pada May 2017, namun percubaan itu gagal.
#Derrick Lewis #heavyweight #Junior dos Santos #Junior Dos Santos defeats Derrick Lewis #Lewis vs Dos Santos #UFC Fight Night #UFC heavyweight #UFC Wichita
;