UFC Vegas 11: Satu tumbukan, Khamzat Chimaev menang dalam masa 17 saat
Hilmi Ismail
September 20, 2020 19:05 MYT
September 20, 2020 19:05 MYT
PETARUNG sensasi kelahiran Chechnya, Khamzat Chimaev sekali mempamerkan aksi cemerlang dalam gelanggang Octagon.
Chimaev hanya memerlukan 17 saat untuk menumbangkan lawannya, Gerald Meerschaert dalam acara UFC Vegas 11 yang berlangsung pada Ahad.
Tambah menarik, Chimaev hanya memerlukan satu tumbukan dan Meerschaert terus rebah dari saat itu.
Chimaev kemudiannya melepaskan beberapa tumbukan susulan, sebelum pengadil menghentikan pertarungan.
Chimaev sebelum ini mencipta sejarah apabila bertarung dua kali dalam tempoh 10 hari sahaja dalam dua kelas berat yang berbeza.
Memegang rekod 9 kemenangan tanpa kalah, Chimaev dijangka akan beraksi sekali lagi menentang jaguh veteran dari Brazil, Demian Maia dalam masa beberapa minggu lagi.