UFC Vancouver: 'Cowboy' rebah di tangan Justin Gaethje

Hilmi Ismail
September 15, 2019 13:31 MYT
Gaethje (kanan) diisytihar pemenang selepas menundukkan Cowboy Cerrone melalui keputusan TKO pada minit 4:18 pusingan pertama. - Foto AP
ACARA utama UFC Fight Night 158 di Vancouver, Kanada pada Ahad berakhir dengan kemenangan kepada petarung Amerika Syarikat, Justin Gaethje.
Pertarungan itu menyaksikan ‘The Highlight’ menundukkan Donald ‘Cowboy’ Cerrone melalui keputusan knockout teknikal (TKO) pada minit 4:18 pusingan pertama.
Babak pertama bermula dengan kedua-dua petarung lightweight itu mempamerkan aksi ‘stand-up’ — saling bertukar tumbukan diselang-seli dengan tendangan.
Tiada langsung percubaan jatuhan dilakukan oleh Gaethje ataupun Cerrone.
Namun, pada minit keempat, Gaethje melepaskan tumbukan padu ke arah Cerrone, sekali gus merebahkan lawannya ke lantai Octagon.
Cerrone yang cuba bangun untuk meneruskan perlawanan, terus dihujani tumbukan sehingga pengadil mencelah untuk menamatkan pertarungan setelah dia gagal mempertahankan dirinya.
Gaethje yang sebelum ini berjaya menumpaskan lawannya sebanyak 17 kali menerusi KO dan TKO, terus melebarkan rekodnya kepada 21 kemenangan, dua kekalahan.
Sementara itu dalam aksi ‘co-main event’, petarung Brazil Glover Teixeira berjaya menewaskan petarung dari Ukraine, Nikita Krylov menerusi keputusan berbelah bagi juri.
Selepas tamat perlawanan tiga pusingan, juri membuat keputusan untuk menghadiahkan kemenangan kepada Teixeira menerusi keputusan berbelah bagi.
Dengan kemenangan itu, dia kini memegang rekod profesional MMA, 30-7.
#Donald Cerrone #Glover Teixeira #Justine Gaethje #Kanada #Mixed Martial Arts #MMA #Nikita Krylov #Octagon #seni bela diri campuran #UFC #UFC Fight Night 158 #UFC Vancouver
;