UFC tentukan nasib Tony Ferguson selepas Khabib bertemu Poirier
Hilmi Ismail
Jun 21, 2019 10:31 MYT
Jun 21, 2019 10:31 MYT
DIVISYEN lightweight di UFC merupakan salah satu divisyen yang sarat dengan petarung hebat dan mempunyai nama besar dalam arena seni bela diri campuran (MMA) dunia.
Khabib Nurmagomedov (juara), Dustin Poirier (juara interim), Conor McGregor, Donald Cerrone dan Justin Gaethje antara nama-nama besar yang mewarnai divisyen lightweight di UFC.
Mungkin itu merupakan salah satu sebab mengapa petarung dari Amerika Syarikat, Tony 'El Cucuy' Ferguson masih belum mendapat peluang bertarung dalam perlawanan bagi merebut kejuaraan lightweight.
Walaupun telah memenangi 12 perlawanan berturut-turut, pihak UFC masih belum boleh memberikan sebarang kepastian sama ada Ferguson bakal bertemu dengan pemenang perlawanan antara Khabib dan Dustin Poirier.
Keadaan ini telah mengundang kecaman hebat dari peminat MMA serata dunia.
Pertama kali dilaporkan oleh MMAFighting.com, Presiden UFC, Dana White menyangkal dakwaan bahawa dia mengatakan Ferguson tidak layak bertarung untuk kejuaraan UFC.
"Bila saya katakan dia tidak layak? Jika kamu tahu pasal Tony Ferguson, berapa kali Ferguson dan Khabib dijadualkan untuk bertarung? Ia tidak menjadi kenyataan," kata White ketika menjawab persoalan peminat ketika sesi 'Instagram live' pada Selasa.
"Dia (Tony Ferguson) pernah menjadi juara interim, kemudian lututnya cedera dan memerlukan pembedahan ACL dan terpaksa berehat. Kemudian dia ditawarkan untuk bertarung dengan (Dustin) Poirier dan pemenang pertarungan itu akan bertemu Khabib, tetapi dia menolak tawaran itu. Kemudian beberapa minggu kemudian dia kembali dan bersedia untuk bertarung."
Sebagai rekod, UFC telah cuba menganjurkan pertarungan antara Ferguson dan Khabib sebanyak empat kali sebelum ini. Namun kedua-kedua Ferguson dan Khabib terpaksa menarik diri sebanyak dua kali kerana kecederaan.
"Semua orang mengatakan saya menafikan pertarungan Tony untuk merebut kejuaraan. Tapi sebenarnya dia hanya tidak bernasib baik dan beberapa perkara tidak memihak kepadanya", kata White.
"Tetapi semua orang mengatakan saya tidak memberikan apa yang sepatutnya kepada dia (Tony Ferguson). Jika anda peminat sukan ini, anda lihat semua yang telah berlaku. Itu adalah sebab kita berada dimana kita sekarang," tegas White lagi.
White memilih untuk menunggu sehingga perlawanan antara Khabib dan Poirier sebelum menentukan siapalah lawan Ferguson yang seterusnya.
Khabib dijadualkan untuk mempertahankan kejuaraan lightweight miliknya pada acara UFC 242 yang bakal berlangsung pada 8 September di Abu Dhabi, UAE.
#Conor McGregor
#Dana White
#divisyen lightweight
#Donald Cerrone
#Dustin Poirier
#Justin Gaethje
#Khabib Nurmagomedov
#Mixed Martial Arts
#MMA
#Presiden UFC
#seni bela diri campuran
#Tony Ferguson
#UFC