UFC: Ronaldo Souza kembali dengan mesej lebih positif

Hilmi Ismail
Mei 1, 2019 00:03 MYT
SOUZA: Saya akan mengambil sedikit masa untuk berehat bersama keluarga saya dan saya akan kembali tidak lama lagi. - Foto Instagram/ronaldojacare
SELEPAS kekalahan pada acara UFC Fort Lauderdale Ahad lepas, petarung Brazil Ronaldo 'Jacare' Souza dilihat begitu sedih dan murung.
Semasa sidang media pasca pertarungannya, Souza berkata, "Saya sedih. Saya melalui kem latihan yang sangat bagus untuk pertarungan ini.
"Saya tidak berasa penat. Tetapi saya tidak mampu pamer aksi cemerlang di Octagon. Ini sangat tidak baik."
Namun hari ni, Souza tampil dengan mesej yang lebih positif. Dia membuat kenyataan terbaru melalui akaun Instagramnya.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan mereka. Lawan saya mempunyai strategi yang bagus dan menang. Sebaik selepas pertarungan, saya sangat sedih dan kecewa.
"Tetapi sekarang Tuhan telah menenangkan hati saya dan walaupun saya tidak menang, saya tidak berasa sedih lagi. Saya berterima kasih pada Tuhan untuk perasaan ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang mempercayai usaha saya dan menyokong saya!
"Saya akan mengambil sedikit masa untuk berehat bersama keluarga saya dan saya akan kembali tidak lama lagi!"
Dengan kekalahan kepada Jack Hermansson, rekod keseluruhan Souza adalah 26-7.
Kedudukan Souza dalam ranking Middleweight UFC juga telah jatuh ke tangga keenam.
#Middleweight UFC #Mixed Martial Arts #MMA #Octagon #Ronaldo Souza #UFC #UFC Fort Lauderdale
;