UFC: McGregor kembali beraksi 23 Jan menentang Dustin Poirier
Haider Yutim
November 19, 2020 07:30 MYT
November 19, 2020 07:30 MYT
BINTANG UFC dari Ireland, Conor McGregor sah akan beraksi pada 23 Januari 2021 nanti, menentang jaguh dari Amerika Syarikat, Dustin Poirier.
Memetik laporan ESPN, bekas juara berganda itu telah menandatangani kontrak untuk pertarungannya dengan Poirier pada Khamis, sementara Poirier pula menandatangani kontrak tersebut minggu lepas.
Difahamkan pertarungan untuk acara UFC 257 itu bakal diadakan dalam kategori berat 155 pound (70.3kg) iaitu divisyen lightweight.
Ini bermakna McGregor perlu kembali ke berat badan asalnya selepas naik ke kelas welterweight semasa menentang Donald ‘Cowboy’ Cerrone, pada Januari lalu.
Setakat ini, lokasi untuk pertarungan ‘McGregor vs Poirier 2’ itu masih belum ditetapkan.
Bagaimanapun, Presiden UFC Dana White memberitahu ESPN bahawa ia mungkin akan diadakan di UFC Fight Island di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ini merupakan kali kedua McGregor dan Poirier bertemu.
Kali pertama mereka bertembung ialah pada acara UFC 178, iaitu pada September 2014 di mana McGregor telah menewaskan Poirier menerusi TKO pusingan pertama.
McGregor, 32, kini memegang rekod profesional MMA sebanyak 22 kemenangan dan empat kekalahan.
Manakala Poirier, 31, pula memegang rekod sebanyak 26 kemenangan dengan enam kekalahan.
#UFC
#Conor McGregor
#Dustin Poirier
#MMA
#Dana White
#lightweight
#UFC Fight Island
#Abu Dhabi
#UAE